Powered by Blogger.

Friday, January 04, 2013

Murid Tahun 1 SK Merpati Jepang: "Kami Bukan Kembar Tapi Sebaya"

  NR       Friday, January 04, 2013
Noor Jazny Mohd. Noor memeluk kedua-dua anaknya Nur Edwan Elnie (kiri) dan Erwan Adi Elnie ketika sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan Merpati Jepang, di Kuching, semalam. 
 
KUCHING 2 Jan. - Mereka bukan kembar, namun sepasang adik-beradik lelaki mendaftar masuk sebagai murid tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati Jepang di sini, secara serentak kerana lahir pada tahun sama.

Malah ketika memulakan sesi persekolahan hari ini, pasangan adik-beradik itu, Nur Ed Wan Elnie Ismail dan Erwan Adi Elnie Ismail turut menjadi rakan sekelas.

Ibu mereka, Noor Jazny Mohd. Noor, 45, memberitahu, jarak umur dua anak lelakinya itu hanya 11 bulan.

"Nur Edwan Elnie dilahirkan pada 8 Januari 2006 manakala Erwan Adi Elnie dilahirkan pada 27 Disember tahun sama.

"Selain memiliki saiz dan ketinggian yang lebih kurang sama, rupa mereka agak seiras. Jadi ramai yang menyangka saya memiliki sepasang anak kembar sedangkan mereka bukan kembar," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Noor Jazny dalam pada itu memberitahu, Nur Ed Wan Elnie dan Erwan Adi Elnie merupakan anak ketiga dan keempat daripada enam beradik.

Katanya, selepas melahirkan anak sulung dan kedua, dia menunggu selama lapan tahun sebelum disahkan mengandung sekali lagi.

"Sebelum mengandungkan Nur Ed Wan Elnie dan adiknya, saya pernah gugur sebanyak dua kali dalam masa setahun.

"Namun syukurlah, pada 2006 kesabaran saya dan suami berbaloi apabila Allah S.W.T mengurniakan dua orang anak berturut-turut," kata suri rumah berasal dari Perlis itu.

Pasangan adik-beradik itu merupakan antara 77 murid tahun satu yang memulakan hari pertama persekolahan di SK Merpati Jepang tahun ini.

- Utusan 
logoblog

Thanks for reading Murid Tahun 1 SK Merpati Jepang: "Kami Bukan Kembar Tapi Sebaya"

Previous
« Prev Post

No comments: