Powered by Blogger.

Friday, January 04, 2013

Seramai 13,378 Murid Tahun 1 Mulakan Sesi Persekolahan di Melaka

  NR       Friday, January 04, 2013
 Mohd Ali bermesra dengan murid tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Demang Husin, semalam.

BUKIT KATIL – Seramai 13,378 murid tahun satu memulakan sesi persekolahan di seluruh Melaka, semalam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, seramai 6,635 murid perempuan dan 6,743 lelaki tahun satu mula bersekolah di 236 sekolah rendah di negeri itu.


Menurutnya, berlaku peningkatan sejumlah 682 murid berbanding tahun lalu seramai 12,697 orang.


“Keseluruhan murid sekolah rendah dari tahun satu sehingga enam melibatkan 1,698 murid pendidikan khas yang mula bersekolah seramai 86,613 orang.


“Manakala, pelajar sekolah menengah seramai 155,886 orang. Berlaku peningkatan murid yang mungkin disebabkan pertumbuhan penduduk Melaka sebanyak dua peratus,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan sesi lawatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Demang Husin, di sini, semalam.


Mohd Ali turut meminta murid layak menerima bantuan kelengkapan persekolahan seperti pakaian perlu segera memohon kepada Jabatan Pelajaran atau melalui pihak sekolah.


Tambah beliau, ibu bapa perlu proaktif memantau pembelajaran anak semasa di rumah jika mahu mereka menjadi seorang yang berjaya pada masa hadapan.


Beliau menasihati ibu bapa tidak membiarkan guru sahaja mendidik anak, sebaliknya mereka perlu sokong dan datang ke sekolah untuk libatkan diri dalam kegiatan seperti sukaneka atau aktiviti yang dianjurkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru.


“Bila anak-anak habis sekolah kena tanya apa dia belajar di sekolah, kena ‘check’ kerja sekolah dia, jangan biar sahaja anak kita main sahaja tak belajar di rumah,” katanya.


Terdahulu, dua sekolah baru dibuka iaitu SK Demang Taha dan SK Ayer Merbau sekali gus menjadikan 236 sekolah rendah dan 77 buah sekolah menengah.


Sementara itu, bantuan RM100 oleh kerajaan kepada semua murid sekolah dijangka diterima pada 15 Januari ini.

- Sinar Harian, 3 Jan
logoblog

Thanks for reading Seramai 13,378 Murid Tahun 1 Mulakan Sesi Persekolahan di Melaka

Previous
« Prev Post

No comments: