Powered by Blogger.

Friday, January 11, 2013

SPRM Bongkar Sindiket Cuba Tipu Kolej Swasta Selesaikan Masalah Pelajar Asing

  NR       Friday, January 11, 2013
 DUA lelaki yang ditahan kerana cuba memperdaya sebuah kolej swasta di Ipoh semalam. 

KUALA LUMPUR 9 Jan. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar kegiatan satu sindiket yang menipu kolej-kolej swasta dengan meminta suapan antara RM10,000 hingga RM50,000 bagi menyelesaikan masalah lesen dan visa pelajar.

Sindiket yang dipercayai berperanan sebagai juru runding sejak dua tahun lalu itu dipercayai mampu mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit dengan meminta suapan daripada pihak kolej bagi menyelesaikan masalah pelajarnya yang disenarai hitam Jabatan Imigresen.

Taktik sindiket yang didalangi seorang bekas ahli kumpulan muzik dan penjawat awam itu akhirnya tumpas selepas kedua-dua mereka berusia lingkungan 30-an diberkas di sebuah hotel di Ipoh, Perak pada pukul 2.45 petang ini.

Menurut sumber, dua individu itu ditahan hasil maklumat awam dan risikan yang mendapati mereka meminta suapan kali kedua lebih RM40,000 bagi menyelesaikan masalah lesen pusat tauliah sebuah kolej dari China yang disenarai hitam Jabatan Imigresen.

"Kolej antarabangsa tersebut dipercayai disenarai hitam selepas pihak berkuasa mendapati surat memorandum persefahaman antara majikan pelajar asing dengan pihak kolej mengandungi butiran palsu.

"Dokumen tersebut dikemukakan selepas empat pelajar asing kolej terbabit gagal menyambung pengajian berikutan visa mereka telah tamat tempoh pada hujung Oktober lalu.

"Difahamkan, pemilik kolej berkenaan diminta membayar puluhan ribu bagi menyelesaikan masalah lesen pusat tauliah pada November lalu dan tuntutan tambahan bayaran lebih RM40,000 baru-baru ini untuk kos memperbaharui visa pelajar," kata sumber itu ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Dalam pada itu, sumber berkata, 'orang tengah' sindiket tersebut dipercayai memberi maklumat masalah senarai hitam yang dihadapi pihak kolej berkenaan sebelum sindiket itu menawarkan khidmat untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Katanya, sindiket akan menyakinkan kolej berkenaan bahawa pihaknya memiliki 'akses' kepada pihak atasan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Imigresen untuk mengeluarkan dokumen serta mendapatkan kelulusan lesen.

"Tuntutan bayaran tersebut dikatakan digunakan untuk membayar 'orang dalam' agensi penguatkuasaan terbabit.

"Kegiatan sindiket terbabit amat memalukan negara kerana ia turut menjejaskan keyakinan pelabur asing terhadap prosedur kerja negara ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali ketika dihubungi mengesahkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(1) Akta SPRM 2009, namun beliau enggan mengulas lanjut.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading SPRM Bongkar Sindiket Cuba Tipu Kolej Swasta Selesaikan Masalah Pelajar Asing

Previous
« Prev Post

No comments: