Powered by Blogger.

Thursday, February 07, 2013

3,400 pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin terima BB1M

  NR       Thursday, February 07, 2013
DUNGUN 5 Feb. - Sebanyak 3,400 pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) di sini, menerima Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) yang keseluruhannya bernilai RM850,000 dalam majlis yang dilangsungkan di Dewan Besar PSMZA semalam.

Setiap pelajar menerima RM250 seorang, pertambahan sebanyak RM50 sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2013 bagi meringankan beban pelajar membeli bahan bacaan untuk rujukan pembelajaran dan menambahkan pengetahuan.

Pelancaran agihan bantuan tersebut disempurnakan oleh Ahli Parlimen Dungun, Datuk Matulidi Jusoh dengan menyerahkan replika cek kepada Pengarah PSMZA, Mejar (K) Md. Noor Baharom sebagai simbolik penyerahan.

Berucap dalam majlis itu, Matulidi berkata, pemberian baucar yang mula dijadikan tradisi tahunan tersebut merupakan keprihatinan kerajaan terhadap penuntut institusi pengajian tinggi di seluruh negara agar mengejar ilmu pengetahuan dan mencapai kecemerlangan.

"Langkah ini diharap dapat meringankan beban pelajar dalam perbelanjaan mereka membeli bahan-bahan pembelajaran tambahan seperti buku dan sebagainya. Pemberian ini besar maknanya jika dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar," ujarnya.

Sempena majlis itu, PSMZA dengan kerjasama beberapa pembekal buku turut mengadakan pesta jualan buku kepada pelajar PSMZA di Pusat Sumber PSMZA selama empat hari mulai semalam.

Ia merupakan inisiatif PSMZA dalam memberikan kemudahan kepada para pelajar memilih dan membeli bahan-bahan bacaan menggunakan baucar tanpa perlu ke kedai buku di bandar.

Beliau menarik perhatian, kerajaan yang ada hari ini sentiasa mengambil berat masalah rakyat dengan melaksanakan pelbagai pendekatan untuk meningkatkan taraf hidup dan tahap kesejahteraan mereka.

"Semua rakyat akan merasai tempias dari angin perubahan agenda transformasi negara ini yang digerakkan Perdana Menteri termasuk para pelajar," ujarnya.

Katanya, penuntut di pusat pengajian tinggi merupakan aset yang amat berharga kepada negara dan mereka seharusnya mengisi tanggungjawab di kampus bagi menimba ilmu pengetahuan sebanyak mungkin sebelum berperanan secara langsung dalam masyarakat kelak.

Sementara itu Md. Noor berharap pelajar membelanjakan bantuan itu sebaik mungkin agar dapat memberi impak yang signifikan sepanjang tempoh pengajian di PSMZA.

"Pemberian ini juga sebagai salah satu usaha kerajaan membudayakan amalan membaca dalam kalangan rakyat.

"Umum mengetahui tabiat membaca rakyat masih rendah berbanding dengan negara lain," katanya.

logoblog

Thanks for reading 3,400 pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin terima BB1M

Previous
« Prev Post

No comments: