Powered by Blogger.

Thursday, February 07, 2013

Pelakon Azhar Sulaiman Dilantik Ikon GPMS Jerantut

  NR       Thursday, February 07, 2013
JERANTUT 1 Feb. - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) cawangan Jerantut melantik pengarah dan pelakon drama, Azhar Sulaiman, 42, sebagai ikon untuk membantu mengukuhkan aspek kepimpinan dan pengurusan pertubuhan itu.

Majlis penyampaian watikah pelantikan itu disempurnakan oleh Pengerusi GPMS cawangan Jerantut, Ahmad Shah Jamlus sempena program Malam Penyatuan Berlian, Adat Berbudi, Berwadah Berbakti, di sebuah hotel di sini hari ini.

Yang turut hadir Penasihat GPMS negeri, Datuk Mustapa Long dan Exco Pemuda UMNO, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak.

Menurut Ahmad Shah, pelantikan Azhar yang juga seorang arkitek memang tepat pada masanya memandangkan ahli GPMS di sini memerlukan seorang tokoh muda yang boleh diteladani dari aspek kepimpinan dan kerjaya profesionalnya.

"Keperibadian yang unggul serta kejayaannya boleh diteladani oleh ahli pertubuhan ini yang terdiri daripada pelajar, penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) serta para alumni yang terdiri daripada pelbagai lapisan penjawat profesional," katanya pada majlis berkenaan.

Ahmad Shah berkata, GPMS negeri akan melibatkan ikon berkenaan dalam kegiatan kemasyarakatan, kepimpinan, motivasi dan pengurusan untuk merangsang ahli pertubuhan itu cemerlang seiring dengan hala tuju transformasi pembangunan negara menjelang 2020.

Sementara itu, Azhar anak kelahiran Bentong yang mula terjun dalam bidang lakonan pada 1989 menyifatkan pelantikannya sebagai ikon GPMS merupakan satu penghormatan baginya.

"Saya amat bersyukur dan menghargai pengiktirafan daripada GPMS Jerantut dan beriltizam akan membantu berasaskan pengetahuan profesional dan pengalaman untuk menggerakkan pertubuhan ini menerusi semua bidang," katanya.

Sehubungan itu, Azhar meminta semua ahli pertubuhan berkenaan untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menggerakkan serta memimpin GPMS agar disegani dalam kalangan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini.

Selain berlakon, mengacara dan sebagai arkitek, Azhar juga sangat aktif dengan kerja kemasyarakatan terutama program motivasi dan teknik kemahiran hidup kepada pelajar dan penuntut universiti.

logoblog

Thanks for reading Pelakon Azhar Sulaiman Dilantik Ikon GPMS Jerantut

Previous
« Prev Post

No comments: