Powered by Blogger.

Tuesday, February 05, 2013

Kolej Laila Taib (KLT) Melahirkan Graduan Pertamanya

  NR       Tuesday, February 05, 2013

SIBU: Kejayaan Kolej Laila Taib (KLT) melahirkan graduan pertamanya memberi impak yang cukup besar selain mewujudkan trend baharu dalam corak sistem pendidikan di negeri ini.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, kejayaan itu adalah hasil daripada keyakinan yang disandarkan kepada keupayaan Yayasan Sarawak yang memainkan peranan penting dalam pembangunan pendidikan di negeri ini.

Perubahan corak pendidikan, jelas beliau, adalah sebahagian daripada proses perkembangan pendidikan terutama dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang sesuai dengan tuntutan semasa.

Mengambil contoh negeri ini, Taib menjelaskan: “Sarawak sedang giat mempersiapkan lebih banyak sumber tenaga mahir dan separuh mahir bagi menampung keperluan tenaga kerja dalam Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).”

Beliau berkata, SCORE merupakan sebuah projek transformasi yang membuka trend baharu dalam pembangunan ekonomi negeri ini bukan sahaja membuka laluan kepada perniagaan bersaiz mega malah membina peluang kepada industri kecil dan sederhana (IKS).

“Justeru, universiti terpilih boleh membekalkan tenaga kerja mahir dan separuh mahir kepada projek tersebut,” katanya pada Majlis Graduasi Pertama KLT di sini semalam.

Hadir sama isteri beliau, Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh dan Ketua Pegawai Eksekutif KLT Andrew Wong Kee Yew.

Menurut Taib, Sarawak telah memasuki lembaran baharu dengan membina struktur pembangunan ekonomi global dan memberi fokus kepada industri yang sejajar dengan pelaksanaan SCORE.

Justeru katanya, dengan menyediakan pekerja mahir dalam industri di negeri ini, ia mampu membawa kepada struktur ekonomi lebih baik serta mencapai matlamat ekonomi berpendapatan tinggi.

“Bagaimanapun, ia merupakan satu cabaran besar seperti mana dihadapi negara lain termasuk Singapura, Australia, China dan India yang memerlukan tenaga kerja mahir untuk membangun.

“Justeru, Sarawak perlu mempunyai tenaga kerja mahir mencukupi selain mengadakan pelbagai segmen dan kerja dalam memajukan pelbagai industri di negeri ini,” katanya.

Taib menarik perhatian bahawa beliau berharap masyarakat tempatan terutama kalangan generasi muda harus melengkapkan diri mereka dengan pelbagai tahap disiplin dan kemahiran.

“Selain itu, sistem pendidikan teknikal juga mesti bijak melihat keperluan sumber tenaga mahir dan separuh mahir yang diperlukan dalam pasaran hari ini,” katanya.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading Kolej Laila Taib (KLT) Melahirkan Graduan Pertamanya

Previous
« Prev Post

No comments: