Powered by Blogger.

Thursday, February 07, 2013

Prof Sir Anthony James Leggett Terima Ijazah Kehormat UniMAP

  NR       Thursday, February 07, 2013
KANGAR 5 Feb. - Pemenang Hadiah Nobel Fizik 2003, Prof. Sir Anthony James Leggett menerima ijazah kehormat Doktor Falsafah Sains daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Anugerah itu disampaikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP dalam satu upacara di Istana Arau, baru-baru ini.

Yang turut hadir Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin.

Anthony, yang lahir di London pada 26 Mac 1938, terkenal di seluruh dunia kerana jasa beliau melalui teori Fizik Suhu Rendah dan usahanya meneroka kaedah superbendalir.

Beliau dianugerahi gelaran 'Sir' pada 2004 oleh Ratu Elizabeth 11 dan bertugas sebagai profesor fizik di University of Illinois at Urbana-Champaign sejak 1983.

Bertitah dalam upacara itu, Tuanku Syed Faizuddin menyifatkan pemilihan Anthony sebagai mentor bagi UniMAP merupakan langkah yang amat tepat.

"Kepimpinan beliau yang begitu berwibawa boleh membimbing dan memberi pandu arah kepada kita untuk sampai ke tampat yang ingin dituju. 

"Beta ingin melihat UniMAP bekerjasama rapat dengan beliau untuk mencapai matlamat kita menduduki senarai 500 universiti terbaik dunia," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin juga menggesa penyelidik UniMAP mencontohi usaha Anthony dan berkongsi pengalaman dengan beliau untuk melahirkan pemenang hadiah nobel pada masa akan datang.

"Beta berharap, melalui semangat gandingan simbiosis antara Sir Anthony dan UniMAP, pelan tindakan secara komprehensif akan dihasilkan, personel dikenal pasti, sumber diperuntukkan, tempoh ditetapkan dan kemudahan lain disediakan ke arah mencapai dan mempercepatkan impian kita melahirkan pemenang nobel kita sendiri dengan secepat mungkin," titah baginda.

Terdahulu, Anthony menyampaikan syarahan bertajuk 'Why Can't Time Run Backwards' anjuran UniMAP di Dewan Kapitol di sini, yang dibuka kepada orang ramai dan pelajar universiti berkenaan. - BERNAMA

logoblog

Thanks for reading Prof Sir Anthony James Leggett Terima Ijazah Kehormat UniMAP

Previous
« Prev Post

No comments: