Powered by Blogger.

Thursday, July 04, 2013

OUM Buka Pusat Pembelajaran Baharu di Bintulu, Sarawak

  NR       Thursday, July 04, 2013


KUCHING: Universiti Terbuka Malaysia (OUM) akan membuka sebuah lagi pusat pembelajaran baharu di Bintulu September tahun ini sekali gus menyumbang kepada penghasilan tenaga kerja mahir yang diperlukan di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Naib Presiden OUM (Pengurusan Pelajar dan Pembangunan Kampus) Profesor Dr Rosli Hamir berkata, pembukaan pusat pembelajaran baharu akan memenuhi permintaan yang semakin meningkat di negeri ini.
“Buat masa ini kami mempunyai tiga pusat pembelajaran iaitu di Kuching, Sibu serta Miri dan kami sedang dalam proses untuk membuka satu lagi pusat baharu di Bintulu.

“Oleh itu, kami tidak menghadapi masalah untuk menyumbang kepada penghasilan tenaga kerja mahir yang diperlukan oleh SCORE nanti,” katanya sambil memberitahu bahawa OUM menawarkan kira-kira 60 program daripada diploma hingga doktor falsafah.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Makan Malam Graduasi dan Alumni OUM Sarawak di sebuah hotel di sini malam kelmarin.

Pada masa yang sama Dr Rosli memberitahu bahawa buat masa ini OUM mempunyai 35,000 pelajar di 22 pusat pembelajaran di seluruh negara.

“Kami telah melahirkan kira-kira 47,000 graduan dari peringkat diploma hingga doktor falsafah,” tambahnya.

Selain itu, beliau berkata, OUM turut mempunyai sembilan pusat pembelajaran di luar negara dan pelajarnya seramai 2,000 orang.

Menyentuh mengenai perkembangan terkini sistem pembelajaran di OUM Dr Rosli berkata, pihaknya kini menyediakan aplikasi bahan pembelajaran yang akan dilancarkan 2 Julai ini.

“Selari dengan perkembangan teknologi pada masa, kami kini ada menyediakan satu aplikasi pembelajaran khas untuk pelajar yang boleh dimuat turun ke dalam tablet mereka.

“Ini akan memudahkan mereka belajar di mana sahaja. Selain itu kami juga akan menyediakan lebih banyak bahan rujukan dan pembelajaran dalam bahasa Melayu,” ujarnya.

Hadir sama pada sidang media itu Pengurus Besar Kanan (Pendaftar) Kamariah Mohd Nor, Pengarah Pusat Pengurusan Pelajar Profesor Dr Santhi Raghavan dan Pengarah OUM Sarawak Lindsay Brangking.

Sumber: Utusan Borneo
logoblog

Thanks for reading OUM Buka Pusat Pembelajaran Baharu di Bintulu, Sarawak

Previous
« Prev Post

No comments: