Powered by Blogger.

Thursday, September 19, 2013

Graduan DPLI GSTT Gesa Kerajaan Beri Tempat Mengajar

  NR       Thursday, September 19, 2013
Keresahan graduan ambilan khas Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang masih belum mendapat penempatan tetap di sekolah menengah kerajaan mendapat perhatian Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming.
Beliau berkata, graduan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) GSTT yang masih belum diberikan tempat mengajar adalah pembaziran dana kerajaan.
“Graduan yang diberikan elaun RM1,300 sebulan selama 18 bulan itu menjadi pembaziran dana kerajaan apabila mereka masih belum mendapat tempat di sekolah kerajaan.
“Kementerian Pendidikan yang melatih mereka selama tempoh itu, seharusnya segera menempatkan mereka supaya kekurangan guru di sekolah dapat diatasi segera.
“Penjelasan segera perlu diberikan mengapa graduan ini masih belum ditempatkan dan berapa lama lagi mereka harus menunggu,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Beliau berkata, disebabkan penangguhan ini, ramai graduan yang masih belum mendapat pekerjaan dan tertunggu-tunggu panggilan oleh Kementerian Pendidikan.
Sementara itu, seorang graduan yang mahu dikenali sebagai Azwina, 32, graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, status mereka ibarat ‘gantung tidak bertali’ apabila Kementerian Pendidikan masih belum memberi kenyataan rasmi berhubung penempatan mereka meskipun ramai yang mengikuti pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tamat pengajian sejak Julai lalu.
Katanya, graduan DPLI ini banyak bergantung kepada khabar angin yang tersebar di media sosial selepas Kementerian Pendidikan gagal memberi kata putus berhubung penempatan mereka ke sekolah menengah kerajaan.
“Kebanyakan daripada kami berusia dalam lingkungan 30-an dan lebih menyedihkan apabila ada graduan yang kini berusia 35 tahun dikhuatiri gagal mendapat skim pencen selepas tamat perkhidmatan nanti ekoran kurang tahun perkhidmatan bersama kerajaan.
“Ramai yang bimbang apabila terus menganggur serta terpaksa menanggung kos sara hidup yang tinggi dan bebanan hutang. Mereka juga bimbang jika keputusan penempatan nanti terpaksa ditempatkan di Sabah atau Sarawak yang terpaksa berjauhan dengan suami dan keluarga.
“Kami juga terpaksa sentiasa berjaga-jaga menunggu panggilan kementerian menyebabkan kebanyakan masih belum bekerja. Apa yang dikhuatiri ialah tempoh bekerja kami yang singkat nanti akan memberi masalah lain kepada syarikat terbabit,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insider.
Azwina turut membangkitkan kebanjiran graduan jurusan Perdagangan yang dikhuatiri gagal mendapat penempatan ekoran subjek itu adalah mata pelajaran elektif di sekolah.
Katanya, Kementerian Pendidikan harus menjawab isu ini bagi mengurangkan keresahan graduan yang masih berteka-teki berhubung status penempatan mereka.
Graduan menerima nasib sama yang mahu dikenali sebagai Shikin, 31, berasal dari Seremban meminta Kementerian Pendidikan segera menjawab segala kecurigaan pelajar DPLI bagi menjaga reputasi pendidikan negara.
Katanya, kerajaan sering diperlekehkan dengan kelewatan memberikan penempatan kepada graduan DPLI menyebabkan ramai yang sering menuduh kerajaan kini berdepan krisis kewangan.
“Situasi kami kini kian menekan setelah tiga bulan menamatkan pengajian, namun masih belum ada ‘hitam putih’ dari kerajaan. Seharusnya kumpulan kami tidak dipinggirkan kerana kami sememangnya mempunyai pengalaman mengajar sekurang-kurangnya dua tahun. Malah ada di antara kami yang pernah berkhidmat sebagai GSTT selama lima tahun.
“Ada pihak yang pernah memberitahu, kami akan ditempatkan mengikut keperluan mata pelajaran dan kekosongan. Ini tidak adil kepada graduan yang sudah berusia,” katanya semasa dihubungi The Malaysian Insider.
Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Rakyat mengesan pengabaian terhadap penempatan graduan DPLI ini sebagai salah satu kelemahan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) dengan mendapati tiga bulan selepas kursus DPLI tamat pada 23 Mei tahun ini, Kementerian Pendidikan masih gagal memberi tempat kepada graduan dan mencerminkan kelemahan kerajaan dalam membuat perancangan teliti serta pembaziran wang kerajaan.
Media turut melaporkan Setiausaha Agung Pemuda Gerakan, Dr Dominic Lau Hoe Chai, berkata masalah graduan DPLI ini menyukarkan mereka meraih pendapatan ekoran terikat dengan Perjanjian Pendidikan Guru DPLI.
Beliau berkata, jika perkara itu tidak diselesaikan, dikhuatiri menjejaskan pencen yang bakal diterima selepas mereka bersara.
Kira-kira 7,000 graduan DPLI GSTT menamatkan pengajian mereka di IPG dan IPTA yang menawarkan kursus berdasarkan mata pelajaran yang diajarkan di peringkat sekolah menengah.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) semasa ditemui media merasmikan PPPM hujung minggu lalu, berkata masalah penempatan graduan DPLI GSTT adalah disebabkan guru yang sepatutnya berpencen masih belum ditamatkan perkhidmatan mengajar di sekolah kerajaan.
Katanya, masalah itu mengakibatkan perancangan Kementerian Pendidikan untuk menyerap kemasukan graduan berkenaan tergendala.
“Polisi kerajaan membenarkan seseorang guru berkhidmat sehingga 60 tahun tetapi masalah DPLI GSTT ini, kita akan lihat semula dan nama graduan berkenaan masih ada dalam sistem kementerian,” katanya selaku orang nombor satu di Kementerian Pendidikan yang masih belum dapat memberi kata putus berhubung masalah ini. – 13 September, 2013.
logoblog

Thanks for reading Graduan DPLI GSTT Gesa Kerajaan Beri Tempat Mengajar

Previous
« Prev Post

No comments: