Powered by Blogger.

Thursday, October 24, 2013

Kerajaan Jimat Jika Ambil Anak Tempatan Sebagai Guru Di Sarawak - Entulu

  NR       Thursday, October 24, 2013
KOTA SAMARAHAN, 22 Okt (Bernama) -- Kerajaan dapat menjimatkan jutaan ringgit dari segi kos perpindahan guru menerusi pengambilan anak tempatan untuk berkhidmat di Sarawak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun.

Katanya langkah itu memberi faedah kepada kerajaan dan juga rakyat kerana dalam kebanyakan kes, permohonan berpindah tidak diluluskan disebabkan kos yang tinggi, selain membolehkan guru berpengalaman terus tinggal di tempat yang mereka mahu.

"Saya gembira kerana Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran mengambil tindakan sewajarnya terhadap pandangan dan rayuan kita dengan mempertimbang faktor keunikan dan sentimen masyarakat setempat di Sarawak," katanya kepada pemberita, di sini Selasa.

Beliau sebelum itu menyerahkan surat tawaran pelantikan kepada 520 graduan pascaijazah lulusan diploma dalam pendidikan bagi Guru Sandaran Tidak Terlatih, meliputi 516 guru sekolah rendah dan menengah, serta empat untuk politeknik dan kolej komuniti di seluruh Sarawak.

Beliau berkata suruhanjaya itu mencipta rekod apabila menemu bual dan mengambil lulusan pascaijazah terbabit dalam tempoh sehari, berdasarkan kesesuaian mereka sebagai guru.

"Pengambilan baharu ini memenuhi kadar 100 peratus guru berijazah di Sarawak termasuk menggantikan guru yang bersara," katanya.

Menurut Entulu, sebanyak 20,000 bakal guru dijangka menamatkan pengajian mereka di seluruh negara tahun depan bagi mengisi 7,000 kekosongan, namun di Sarawak tidak timbul isu terlebih bekalan kerana mereka sentiasa memerlukan pengambilan guru baharu.

-- BERNAMA

logoblog

Thanks for reading Kerajaan Jimat Jika Ambil Anak Tempatan Sebagai Guru Di Sarawak - Entulu

Previous
« Prev Post

No comments: