Powered by Blogger.

Thursday, February 06, 2014

Guru SMK Kidurong Sempat Mengajar Sebelum Meninggal

  NR       Thursday, February 06, 2014
BINTULU, Rabu — Seorang guru lelaki yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kidurong di sini meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pagi tadi. Mangsa Dadoi Iregai, 46, berbangsa Bidayuh dan berasal dari Kota Padawan, Kuching.

Mangsa dikejarkan ke hospital setelah jatuh pengsan di sekolah dan meninggal di Unit Kecemasan, Hospital Bintulu kira-kira jam 8.40 pagi tadi. Isteri mangsa, Lambon Medin berkata, suaminya kelihatan sihat semasa turun mengajar ke sekolah seperti biasa. "Semasa turun ke sekolah awal pagi tadi, saya sempat nasihat suami saya untuk mengambil cuti rehat sebab suami saya mempunyai masalah sakit jantung.

"Namun, teguran saya tidak dipedulikan, malah beliau memberi banyak alasan," kata Lambon semasa ditemui pemberita di Bilik Mayat, Hospital Bintulu di sini hari ini. Selain itu, arwah juga meninggalkan tiga orang anak yang berusia 13 tahun, 9 tahun dan 5 tahun.

Menurut Izuandy Yassin, iaitu salah seorang teman sekerja dan rapat arwah berkata mangsa seorang yang sangat aktif dan banyak berjasa kepada pihak sekolah, Persatuan Pengakap Kelana Malaysia Cawangan Bintulu dan aktif menjalankan aktiviti kebajikan bersama badan-badan bukan kerajaan di sekitar daerah ini. "Saya selaku mewakili Persatuan Pengakap Kelana Malaysia Cawangan Bintulu, ingin melafazkan ucapan takziah kepada ahli keluarga.

"Arwah merupakan Pesuruhjaya Unit Latihan Persatuan Pengakap Kelana Malaysia Cawangan Bintulu dan merupakan seorang yang sangat aktif dan berbudi bahasa," jelas Izuandy yang juga merupakan Penolong Pesuruhjaya Pengakap Kelana Malaysia Cawangan Bintulu. Katanya, Dadoi juga memegang jawatan penting dalam Kesatuan Guru-guru Sarawak (STU) Bintulu iaitu sebagai setiausaha agung.

Dalam pada itu, Pengerusi STU Bintulu, Soo Siew Huong turut memberitahu beliau benar-benar rasa kehilangan seorang setiausaha yang rajin dan baik hati sejak berkhidmat dari tahun 2011 sehingga sekarang.

Seluruh warga pendidik SMK Kidurong, Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu dan semua pelajar mengucapkan takziah atas pemergian seorang guru yang sangat disayangi serta berjasa kepada pihak sekolah. Mayat mangsa telah dikeluarkan dari Hospital Bintulu dan dibawa ke rumah kediaman mereka di Taman Putra Jaya, Batu 5, Jalan Bintulu-Miri.

Turut bersama melawat arwah mangsa di Bilik Mayat, Hospital Bintulu ialah Ketua Unit Pembangunan, Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu, Fred Entau, Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu, Gregory Kurung Suwen, Pengetua SMK Kidurong Then Chew Nyiew, warga pendidik SMK Kidurong, pelajar-pelajar dan ahli keluarga.

- Utusan Sarawak
logoblog

Thanks for reading Guru SMK Kidurong Sempat Mengajar Sebelum Meninggal

Previous
« Prev Post

No comments: