Powered by Blogger.

Tuesday, February 23, 2016

MARA Berkerjasama Dengan Petronas Bina MRSM Bintulu

  NR       Tuesday, February 23, 2016
Kerjasama MARA dan Petronas, buka peluang kepada 750 pelajar apabila siap nanti

KUCHING: Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan kerjasama Petronas akan membina Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) baharu di Bintulu pada tahun ini.
Perkara itu didedahkan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberitahu bahawa tapak untuk membina MRSM baharu itu sudah ada dan kini hanya menunggu pelaksanaan sahaja.
“Di sini saya hendak umumkan bahawa sebuah lagi MRSM akan dibina di negeri ini iaitu di Bintulu melibatkan kerjasama antara MARA dan Petronas bagi memenuhi keperluan industri minyak dan gas di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Usahawan sempena Sambutan 50 Tahun MARA Peringkat Negeri di Bangunan MARA Plaza Astana di sini, semalam.
Pada masa sama Ismail berkata MRSM baharu itu akan membuka peluang kepada kira-kira 750 pelajar untuk menuntut di situ apabila ia siap dalam tempoh tiga tahun nanti.
“Pembinaan MRSM baharu di Bintulu ini dibiayai oleh Petronas sepenuhnya dan kita berharap ia akan mula dibina pada tahun ini dan siap dalam tempoh tiga tahun,” jelasnya.
Ditanya mengenai perancangan untuk mewujudkan MARA Digital di negeri ini, Ismail berkata pihaknya merancang untuk mewujudkan MARA Digital di seluruh negara dan untuk Sarawak ia akan dibina di Kuching.
Menyentuh mengenai sumbangan MARA di negeri ini, beliau menjelaskan Sarawak mempunyai tiga MRSM iaitu di Kuching, Betong dan Mukah yang mana telah melahirkan 7,000 pelajar.
“Selain itu, di 32 Pusat GIATMARA di negeri ini, kita telah melahirkan 20,000 pelatih manakala di dua Institut Kemahiran MARA (IKM) iaitu Kuching dan Bintulu seramai 13,000 graduan berjaya dilahirkan.
“Malah, IKM Kuching juga telah menerima pentauliahan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk memulakan program Diploma Teknikal Automotif bagi sesi pengambilan Julai dan Disember tahun ini,” katanya.
Beliau turut mendedahkan sehingga kini MARA telah menaja 20,700 pelajar Sarawak yang melanjutkan pengajian dalam negara mahupun luar negara dengan pembiayaan sebanyak RM621 juta.
Selain itu, menurut Ismail, MARA juga bercadang menambah 23 unit lot perniagaan baharu di Sarikei dan Betong dengan kos sebanyak RM8.7 juta bagi membantu usahawan Bumiputera di negeri ini.
“Dalam meningkatkan industri keusahaawanan di negeri ini, MARA telah memberi RM600 juta pinjaman kepada 3,000 usahawan Sarawak.
“Menerusi program keusahawanan dan latihan seramai 50,000 orang telah dilatih dengan jumlah peruntukan diberikan lebih daripada RM73 juta dan untuk melancarkan pentadbiran MARA di negeri ini, kita merancang menubuhkan dua lagi pejabat MARA baharu di Betong dan Lawas,” ujarnya.
Justeru, beliau berharap MARA akan teru
s memberi tumpuan dalam membangunkan ekonomi rakyat Bumiputera di negeri ini.
Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi, Pengerusi MARA Tan Sri Annuar Musa, Ketua Pengarah MARA Datuk Ibrahim Ahmad dan tetamu kehormat lain.

Sumber: Utusan Borneo / 22/02/2016

Berita berkaitan: Utusan Sarawak / Sarawak Tribune
logoblog

Thanks for reading MARA Berkerjasama Dengan Petronas Bina MRSM Bintulu

Previous
« Prev Post

No comments: