IBU, 22 Feb (Bernama) — Timbalan Menteri Pelajaran Dr Puad Zarkashi berkata beliau akan berbincang dengan pegawai di kementeriannya mengenai permintaan oleh banyak guru besar di sekolah luar bandar untuk mereka terus menikmati bekalan elektrik 24 jam melalui set generator di sekolah masing-masing.
Katanya pada lawatannya ke 11 sekolah di pedalaman daerah Kanowit bermula Ahad, guru besar berkenaan menyampaikan kepadanya mengenai kebimbangan mereka dengan arahan kementerian untuk mengehadkan bekalan elektrik kepada 14 1/2 jam dari April ini.
Bercakap kepada pemberita di Lapangan Terbang Sibu hari ini, katanya kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM1.05 bilion untuk membekalkan set generator kepada 429 sekolah luar bandar di seluruh negeri.
Katanya amaun itu juga termasuk pemasangan dan pendawaian, tetapi bukan kos diesel untuk generator itu.
“Mungkin kerana kerajaan membelanjakan kos yang tinggi bagi diesel dan sebab itu kementerian mengeluarkan arahan itu.
“Tetapi guru besar berkenaan bimbnag ini akan menjejaskan penghuninya, yang kebanyakannya kanak-kanak, pada waktu malam.
“Mereka juga bimbang bahawa daging dan ikan yang disimpan dalam peti sejuk di sekolah akan rosak jika tiada bekalan elektrik berterusan.
“Bagi guru pula, mereka juga akan terjejas apabila mereka tidak dapat menggunakan komputer atau komputer riba untuk membuat kerja sekolah atau melayari Internet untuk maklumat.”
Puad berkata sebab lain arahan itu dikeluarkan ialah kerana Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sedang dalam proses menyalurkan bekalan elektrik dari grid utama ke semua kawasan luar bandar di negeri ini menjelang 2012 sebagai sebahagian sasaran NKRA.
Oleh itu, kementerian pelajaran turut membuat penyesuaian, katanya.
Mengenai lawatannya itu, Puad berkata ia bertujuan untuk melihat sendiri infrastruktur sekolah luar bandar kerana kadang kala apa yang diperolehinya daripada pangkalan data kementerian adalah berbeza dengan keadaan sebenar.
“Kami melihat ada beberapa kelemahan, contohnya, keadaan kuarters guru, kelas dan sistem bekalan air.
“Sesetengah sekolah perlukan lebih banyak kuarters guru manakala kuarters sedia ada berada dalam keadaan daif, tetapi maklumat ini tidak terdapat dalam pangkalan data kami,” katanya. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment