Powered by Blogger.

Friday, April 15, 2011

Rumah anak-anak yatim berjaya lahir ramai anak yatim berpendidikan tinggi

  NR       Friday, April 15, 2011

BINTULU: Rumah anak-anak yatim yang dibangunkan telah berjaya melahirkan ramai anak yatim berpendidikan tinggi sekali gus mendorong kerajaan negeri membina lebih banyak rumah anak yatim di negeri ini.
Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, sehingga kini seramai 200 anak-anak yatim dari rumah anak-anak  yatim telah berjaya memasuki universiti di peringkat diploma dan ijazah.
Katanya, bukan setakat itu bahkan berpuluh-puluh lagi anak yatim akan berjaya memegang segulung ijazah.
“Kita membina rumah anak yatim di Kuching, Miri dan Sibu dengan menderma jutaan ringgit termasuk derma daripada syarikat-syarikat Petronas dan Shell di negeri ini.
“Dan hari ini kita membina rumah anak yatim yang sama di Bintulu selepas melihat keadaan rumah anak yatim di Miri,” ujarnya berucap di Majlis Pecah Tanah dan Peletakan Batu Asas Kompleks Kebajikan Anak-anak Yatim Bintulu yang berkos RM10 juta untuk fasa satu berkeluasan sembilan ekar di Kampung Jepak semalam.
“Saya ada tanya Talib (Datuk Talib Zulpilip) sama ada dia keinginan membina rumah yang sama di Bintulu sebelum pilihan raya penghabisan untuk saya menjadi Ketua Menteri, dia mengiakannya dan tanpa berlengah kita bersetuju menyediakan tanah seluas 10 ekar untuk pembinaan rumah itu,” tambahnya.
Taib berkata, ia memakan masa yang begitu singkat selepas hanya enam bulan berbincang mengenai rancangan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut bersetuju memberi RM2 juta untuk tujuan itu.
Beliau berkata, penubuhan kompleks kebajikan anak-anak yatim itu bukan sahaja untuk membantu orang Islam bahkan yang bukan Islam kerana ia bukan eksklusif untuk bangsa tertentu dan agama Islam sahaja.
“Ia mengikut cara Islam. Kita terima anak-anak yatim yang bukan Islam di Miri, Sibu dan Kuching.
Mereka boleh sembahyang mengikut cara agama masing-masing.
“Semuanya menjadi cara hidup kita di negeri ini dengan harapan supaya kita dapat melahirkan anak-anak terpelajar apabila mereka bekerja kelak untuk sama-sama me-majukan negeri ini,” katanya.
- UB
logoblog

Thanks for reading Rumah anak-anak yatim berjaya lahir ramai anak yatim berpendidikan tinggi

Previous
« Prev Post

No comments: