Jumlah guru yang bakal bertugas di S’wak dianggap tidak logik kerana keperluannya hanya 41,000
KUCHING: Jumlah guru dari Semenanjung Malaysia yang bakal bertugas di Sarawak yang begitu tinggi disifatkan sebagai tidak logik memandangkan jumlah keperluan jawatan itu hanya 41,000.
Ketika dihubungi Utusan Borneo semalam, Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) William Ghani Bina turut menyifatkan angka itu sebagai sebagai tidak logik memandangkan jumlah keperluan jawatan itu hanya sebanyak 41,000 sahaja.
“Tidak mungkin boleh dibawa 80,000 sebab pada tahun ini, jawatan di Sarawak hanya 41,000 manakala untuk guru di Semenanjung Malaysia, hanya 6,847 sebab sekiranya anda bawa 80,000 (guru) tahun depan, mereka nak buat apa? Di mana mereka akan mengajar?
“Maka, tidak timbul isu sampai berpuluh-puluh ribu guru dari Semenanjung Malaysia akan dibawa ke sini, tidak cukup tempat untuk mereka kerana keperluan kita hanya 41,000… itu pun sudah diisi,” katanya.
William dalam pada itu turut melahirkan harapan agar lebih banyak anak tempatan khasnya dari Sabah dan Sarawak dilantik menjadi guru.
“Dengan itu, tidak timbul isu ‘ingin balik kampung’ dan perbanyakkan calon guru dari luar bandar juga agar taraf pendidikan dan kehidupan di kawasan tersebut dapat dipertingkatkan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Ahmad Malie turut sependapat dengan dengan William, dengan mempersoalkan jumlah tersebut.
Bagaimanapun, beliau menambah, sekiranya angka yang dinyatakan itu betul, dalam situasi sekarang sudah pasti ia akan menimbulkan masalah kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) untuk menempatkan guru-guru tersebut kerana jumlah yang dihantar melebihi jumlah keperluan JPN sebenarnya.
Jelasnya, bagaimanapun KGBS juga yakin dan percaya bahawa pihak Kementerian Pelajaran Malaysia akan sentiasa mengambil kira sensitiviti kehendak dan tuntutan rakyat tempatan sebelum melaksanakan sesuatu polisi seumpama ini yang boleh memberi impak yang besar kepada sensitiviti rakyat tempatan.
“Justeru, KGBS berharap agar data yang dikemukakan itu perlu diselidiki dengan lebih rapi untuk memasti-kan kesahihan sesuatu isu tersebut.
“KGBS juga menyeru dan amat mengharapkan agar mana-mana pihak tidak akan mempolitikkan sebarang isu berkaitan pendidikan demi manfaat dan kebaikan anak-anak bangsa kita sendiri, demi masa depan mereka pada masa akan datang,” katanya.
- UB
No comments:
Post a Comment