SIBU: Penghantaran 80,000 guru dari Semenanjung Malaysia untuk bertugas di negeri ini pada tahun depan dilihat akan memberi kesan yang serius serta boleh menjadi isu besar semasa pilihan raya.
Pengerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS) Meradong Kaunselor Senaun Jaya dalam kenyataan media-nya yang diterima semalam memberitahu, Sarawak mempunyai jumlah guru yang mencukupi untuk mengajar di negeri ini.
“Masih ramai rakyat Sarawak yang tidak mempunyai pekerjaan, yang mempunyai ijazah dalam bidang tertentu.
“Jika Sarawak masih tidak mempunyai guru yang mencukupi, mereka ini yang mempunyai ijazah boleh dilatih atau dihantar ke institut latihan perguruan untuk menjadi guru terlatih,” ujarnya.
Senaun berkata demikian sebagai menyokong kenyataan Presiden PRS Dato Sri James Masing yang melahirkan kebimbangan terhadap laporan yang menyatakan sejumlah 80,000 guru dari Semenanjung Malaysia akan dihantar bertugas ke negeri ini pada tahun depan.
Masing yang juga Men-teri Kemajuan Tanah dipetik berkata ketika ditemui pemberita pada Majlis Makan Malam Pra-Gawai anjuran Pergerakan Wanita PRS Bukit Assek di sini malam Isnin lepas, kedatangan ramai guru dari Semenanjung Malaysia itu akan menyulitkan lagi peluang untuk rakyat tempatan.
Menurut Senaun lagi, jika langkah penghantaran guru itu diteruskan, langkah itu dilihat akan memberi kesan yang serius dan akan menjadi satu isu besar pada pilihan raya nanti.
“Memandangkan penduduk Sarawak masih berdiri teguh di belakang Barisan Nasional, kita berharap semua itu tidak menjadi kenyataan,” ujarnya sambil menyuarakan bantahan terhadap langkah penghantaran guru terbabit
- UB
No comments:
Post a Comment