Powered by Blogger.

Monday, May 23, 2011

Jawatan Guru Wibawa dan Pendeta Guru yang bakal dikuatkuasakan 1 Januari tahun depan

  NR       Monday, May 23, 2011
PM umum kaedah baru pengwujudan empat lapisan jawatan berdasarkan kecemerlangan
KUCHING: Kerajaan semalam mengumumkan kaedah baru kenaikan pangkat khusus buat guru dengan pengenalan jawatan Guru Wibawa dan Pendeta Guru yang bakal dikuatkuasakan 1 Januari tahun depan.
TOKOH GURU: Muhiyiddin (empat kiri), Taib (tiga kiri) dan Abdul Ghafar (empat kanan) bergambar bersama penerima Anugerah Tokoh Guru 2011 (dari kiri), Datuk Prof Dr Abdul Rahman Selamat, Datuk Siva Subramaniam, Datuk Rita T Jaafar @ Rita Bagong serta Hamdeh Wok Awang dan penerima Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2011, Datuk Dr Nor Daim @ Matnor Daim (kanan sekali), semasa Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-40 di BCCK, di Kuching, semalam.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dengan itu guru akan dikategorikan mengikut empat lapisan jawatan iaitu Guru Biasa, Guru Kanan, Guru Wibawa dan Pendeta Guru.
“Pengwujudan empat lapisan jawatan tersebut akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan.
“Selain itu, menerusi konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru ini, laluan kerjaya guru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran akan diperluaskan sehingga mencapai gred 54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta syarat-syarat lain yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan menerusi siaran video yang ditayangkan pada pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-40.
Majlis dirasmikan oleh Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan turut dihadiri Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Abdul Ghafar Mahmud di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, sudah tiba masanya laluan kerjaya guru ditambah baik demi memastikan mereka yang membentuk modal insan negera diberi pengiktirafan dan ganjaran sewajarnya.
Antara berita baik yang turut diumumkan beliau semalam adalah bagi guru yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka mutunya seperti yang ditetapkan oleh pihak lembaga, mereka boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.
Namun, katanya bagi guruguru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas tersebut, mereka masih berpeluang untuk menikmati Pergerakan Gaji Tahunan.
Beliau menambah, untuk itu kerajaan bersetuju menambahkan lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak 100 peratus dengan menambah jumlah sebanyak 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru.
“Selanjutnya, sebagai membuktikan lagi kesungguhan kerajaan dalam memartabatkan profesion perguruan, kerajaan bersetuju untuk menaikkan gred jawatan semua pengetua sekolah menengah daripada Gred DG48 kepada Gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan,” katanya.
Tambah beliau lagi, semua Guru Penolong Kanan Pentadbiran (GPK), Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum Sekolah Menengah Gred dinaikkan daripada DG44 kepada Gred DG48 (6,585 jawatan) manakala di sekolah rendah kluster dinaikkan daripada Gred DGA32 kepada Gred DGA34 (99 jawatan).
Sementara itu, Muhyiddin dalam ucapan perasmiannya menyifatkan tumpuan istimewa terhadap profesion perguruan itu merupakan hadiah Hari Guru paling bermakna di seluruh negara.
“Walaupun dalam keadaan kerajaan mengawal defisit negara, Perdana Menteri masih bersedia menawarkan penambahbaikan skim perkhidmatan pendidikan dengan memberi nafas baru kepada kaedah kenaikan gred, khususnya secara ‘time-based’,” katanya sambil menambah ramai guru akan menikmati manfaat kenaikan gred lebih cepat selepas ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran memberitahu bahawa usaha memartabatkan profesion perguruan adalah satu proses yang berterusan dan akan sentiasa berusaha menyediakan pelbagai bentuk insentif kepada guru-guru dan menambah baik keseluruhan perkhidmatan pendidikan dari semasa ke semasa.
“Dalam hubungan ini, saya akan bekerjasama dengan kesatuan- kesatuan guru untuk melihat isu-isu yang berkaitan dengan profesion perguruan secara lebih terperinci dan menyeluruh, serta mencari kaedah terbaik untuk terus memartabatkan profesion ini agar setara dengan darjat kemuliaannya,” katanya.
- UB
logoblog

Thanks for reading Jawatan Guru Wibawa dan Pendeta Guru yang bakal dikuatkuasakan 1 Januari tahun depan

Previous
« Prev Post

No comments: