Powered by Blogger.

Wednesday, July 27, 2011

Inisiatif pendidikan Telekom Malaysia lahirkan modal insan mahir

  NR       Wednesday, July 27, 2011
SEBAGAI sebuah organisasi yang begitu rapat dengan masyarakat, Telekom Malaysia Berhad (TM) komited untuk memberi sumbangan dan menyediakan pelbagai kemudahan terutamanya dalam bidang pendidikan.

Naib Presiden Eksekutif Sektor Kerajaan TM, Datuk Kairul Annuar Mohamed Zamzam berkata, matlamat inisiatif pendidikan TM melalui sektor kerajaannya adalah untuk membantu pembangunan sumber manusia dalam mempertingkatkan penguasaan ilmu dan menjadi modal insan mahir.

"Untuk membantu pembangunan idea inovatif dan bakat berkemahiran tinggi, TM percaya bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dapat membantu mempercepatkan resapan pengetahuan bagi tenaga kerja generasi baru ini," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya, TM sentiasa aktif melibatkan diri dalam sektor pendidikan di negara ini termasuklah dalam bidang rangkaian (network), kandungan dan aplikasi, hosting, inisiatif tanggungjawab korporat dan program adoption ICT.
"Dalam bidang pendidikan, TM menunjukkan komitmen padu dengan membawa dunia ICT kepada kira-kira enam juta komuniti sekolah di negara ini melalui infrastruktur SchoolNet.

"Ia membolehkan 10,000 sekolah menikmati kemudahan jalur lebar untuk mengakses Internet dan melengkapkan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran ICT yang lebih baik," terangnya.

Katanya lagi, usaha TM itu juga adalah untuk melaksanakan objektif memperkenalkan penggunaan ICT dalam pelajaran, memperkenalkan sekolah- sekolah sebagai pusat komuniti penyebaran ilmu ICT dan untuk menghubungkan jurang digital.

"Matlamat TM adalah untuk membantu dalam memperluaskan bekalan tenaga kerja mahir dan berilmu bagi menyokong pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan melalui pendidikan dan latihan," ujarnya.

Kairul Annuar berkata, antara inisiatif TM yang telah menunjukkan kejayaannya dalam bidang pendidikan di negara ini termasuklah GITN TechnoGogy Learning in Schools (GTL Schools), Fiberization of SchoolNet dan Malaysian Research Education Network (MyRen).

"Melalui program GTL Schools yang mendapat kerjasama Kementerian Pelajaran (KPM), sebanyak 50 buah sekolah luar bandar seluruh negara telah dikenal pasti berdasarkan penggunaan kemudahan SchoolNet yang rendah dan fasilitator GTL Schools ditempatkan setiap sekolah itu bagi menggalakkan penggunaan kemudahan yang disediakan," terangnya.

Katanya lagi, Fiberization of SchoolNet pula merupakan penggunaan infrastruktur gentian dimulakan sejak 2008 bagi yang menyediakan sambungan jalur lebar 10 megabit sesaat (Mbps) untuk sekolah-sekolah di bawah projek SchoolNet.

"Sebanyak 27 sekolah SchoolNet telah menerima kemudahan ini bagi membolehkan mereka mengakses kandungan jalur lebar jalur seperti video pendidikan, persidangan web dan aplikasi web 2.0 bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah menjadi lebih inovatif," jelas beliau.

Selain itu, dalam bidang kandungan dan aplikasi, TM turut tidak ketinggalan dalam menyediakan kemudahan e-pembelajaran yang dikenali sebagai TM eSchools bagi menggalakkan penggunaan ICT di kalangan pelajar, guru dan ibu bapa di sekolah terpilih.

Dalam bidang tanggungjawab sosial korporat (CSR) pula, katanya, TM menyediakan sumbangan berupa biasiswa yang diberikan melalui Yayasan Telekom Malaysia (YTM).

"Sejak 1994, YTM telah memberi sumbangan berjumlah RM408 juta kepada pelajar yang berkelayakan dengan 12,345 biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah serta ke IPT dalam dan luar negara," jelasnya.
logoblog

Thanks for reading Inisiatif pendidikan Telekom Malaysia lahirkan modal insan mahir

Previous
« Prev Post

No comments: