Powered by Blogger.

Wednesday, July 27, 2011

Kolej Melayu Kuala Kangsar catat sejarah mengambil 11 pelajar lelaki program Diploma International Baccalaureate

  NR       Wednesday, July 27, 2011
Sebelas pelajar perintis program Diploma International Baccalaureate mendaftar masuk di Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak, baru-baru ini.


SEKOLAH elit di negara ini, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) mencatatkan sejarah baharu dengan pengambilan sebelas pelajar lelaki untuk mengikuti Program Diploma International Baccalaureate (IB) selama dua tahun bermula Jun lalu.

Mereka merupakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 yang membuat persediaan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama di luar negara.

Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Kluster Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Norlia Mohd. Shuhaili berkata, program persediaan ke luar negara ini diiktiraf oleh universiti antarabangsa seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia.

"Hasrat murni kerajaan adalah untuk memastikan setiap pelajar memperoleh pendidikan terbaik di serata dunia," katanya pada sesi dialog bersama guru dan pelajar sulung Program Diploma IB di MCKK, Kuala Kangsar, Perak, baru-baru ini.

Program IB merupakan program antarabangsa yang julung kali diadakan di SBP bagi persediaan pelajar ke luar negara dan MCKK menjadi perintisnya.

Pentauliahan MCKK sebagai Program Diploma IB dilakukan oleh International Baccalaureate Organisation (IBO) setelah melihat kesungguhan pihak Lembaga Pengelola MCKK, barisan guru yang diketuai oleh Pengetuanya, Anand Baharuddin, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) serta Persatuan Bekas Pelajar MCKK (MACOBA).

Justeru, tegas Norlia, MCKK perlu membuktikan mereka duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kolej atau institusi persediaan pelajar ke luar negara yang lain.

"Sebagai keluaran pertama, setiap mata akan memandang dan melihat sejauh mana keberkesanan program ini lebih-lebih lagi penaja yang membuat tajaan bagi setiap pelajar di sini," ujarnya.

Sementara itu, Anand amat optimis program ini akan berjaya melahirkan pelajar cemerlang jika barisan guru sentiasa memberikan komitmen yang terbaik.

"Buktinya, pentauliahan yang diperoleh adalah daripada usaha guru yang menyediakan dokumentasi untuk meyakinkan pihak IBO," terang beliau.

Menurut Penyelaras Program Diploma IB, Fairuz Leman, tenaga pengajar program ini telah dihantar oleh KPM untuk mengikuti kursus ke luar negara seperti di Brisbane, Australia, Singapura dan Hong Kong bagi meningkatkan pengalaman dan pengetahuan.

Setakat ini, jelasnya, seramai 12 guru akan mengajar subjek yang telah ditetapkan oleh IBO dan mereka komited untuk melaksanakan amanah yang diberikan.

"Mereka juga sedar bahawa guru bukanlah setakat menjadi orang hadapan dalam pendidikan, malah meliputi kawalan disiplin dan tingkah laku anak didik mereka di kolej tersebut," katanya.

Bagi pelajar perintis, Mohd. Najmudin Morad, program diploma ini akan membuka peluang ke luar negara untuk mengikuti jurusan kejuruteraan yang menjadi cita-citanya.

"Untuk mencapai kejayaan, ia memerlukan keupayaan mental dan fizikal yang kuat," jelas pelajar tajaan Felda ini.
Manakala Putera Hafriz Amiruddin pula memberitahu, sebagai bekas pelajar MCKK, dia tidak menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dan berazam untuk memanfaatkan peluang yang diberi dengan sebaik-baiknya.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading Kolej Melayu Kuala Kangsar catat sejarah mengambil 11 pelajar lelaki program Diploma International Baccalaureate

Previous
« Prev Post

No comments: