Powered by Blogger.

Tuesday, August 02, 2011

Cadang 1 Malaysia Dijadikan Mata Pelajaran Di Sekolah

  NR       Tuesday, August 02, 2011
PUTRAJAYA – Seorang anggota perwakilan MIC ke Perhimpunan Agung Tahunan ke-65 parti itu hari ini menyarankan agar 1Malaysia dijadikan mata pelajaran di sekolah.
Pengerusi MIC Bahagian Pengerang Datuk T Kanniappan berkata mata pelajaran itu penting untuk mendidik generasi muda tentang erti sebenar konsep 1Malaysia.
“Sekiranya kita tidak dapat mewujudkan mata pelajaran khas tentang konsep ini, mungkin kita boleh masukkannya ke dalam mata pelajaran lain seperti Pendidikan Moral,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden MIC di Pusat Konvenseyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.
Beliau juga mencadangkan agar satu siri setem khas 1Malaysia dikeluarkan untuk memperkenalkan konsep itu kepada masyarakat di luar negara.
“Segala usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan kefahaman semua rakyat Malaysia tentang konsep ini,” katanya.
Kanniappan juga meminta MIC meningkatkan peranannya ke arah memupuk kesedaran masyarakat India tentang program TUKAR yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengggunaan.
Beliau berkata oleh kerana ramai anggota masyarakat India di peringkat akar umbi tidak menyedari kewujudan program itu, maka tidak ramai daripada mereka mendaftarkan diri untuk menyertainya.
Pengerusi MIC Ampang Jaya Datuk N Muneandy pula mencadangkan agar anggota masyarakat India mewujudkan program yang menyamai ‘zakat’ untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan dalam kalangan mereka. – BERNAMA
logoblog

Thanks for reading Cadang 1 Malaysia Dijadikan Mata Pelajaran Di Sekolah

Previous
« Prev Post

No comments: