KUCHING: Seramai 400 pelajar Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak bakal menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen universiti Rabu, 26 Oktober ini.
Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang juga Pro Canselor universiti akan menganugerahkan ijazah tersebut kepada seramai 384 graduan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Graduan-graduan terdiri daripada 367 orang yang telah menamatkan program pengajian ijazah dan 33 orang yang telah menamatkan program pengajian peringkat diploma.
Pada majlis itu, turut berlangsung penganugerahan 15 anugerah korporat dan industri daripada Yayasan Sarawak, Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS), Ernst & Young, KPMG Tax Services Sdn Bhd, CPA Australia, Cahya Mata Sarawak Bhd, Sarawak Energy Bhd, Sarawak Aluminium Company dan Naim Land Sdn Bhd.
Jeremy Chia Wei Liang, yang akan menerima ijazahnya dalam jurusan Robotik dan Mekatronik, serta juga penerima Anugerah Graduan Cemerlang Sarawak dari Yayasan Sarawak, akan menyampaikan ucapan bagi pihak graduan lain.
Ini merupakan julung kali dalam sejarah Kampus Sarawak di mana seorang graduan memberi ucapan rasmi pada majlis konvokesyen.
Sementara itu, majlis ini merupakan konvokesyen kelapan Swinburne Sarawak sejak ditubuhkan pada 2000.
Sejak tahun 2003, sejumlah 350 ke 400 orang pelajar tamat pengajian masing-masing, dalam bidang-bidang pengajian seperti kejuruteraan, bisnes, sains, ICT dan seni reka.
Program-program yang ditawarkan adalah serupa dengan program di kampus induk di Melbourne, Australia.
- UB
No comments:
Post a Comment