IPOH: Mahkamah Tinggi di sini, semalam menolak permohonan seorang guru tadika beragama Hindu supaya Mahkamah Persekutuan mendengar permohonannya untuk membatalkan pengislaman tiga anak selepas suaminya memeluk agama itu dua tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Tarmizi Abd Rahman, yang membuat keputusan itu dalam kamar, mengarahkan perbicaraan penuh permohonan oleh M Indira Ghandi, 36, untuk membatalkan Perakuan Memeluk Islam bertarikh 2 April 2009 membabitkan ketiga-tiga anaknya iaitu Ummu Habibah (Prasana Diksa), 3; Abu Bakar (Karan Dinish), 13 dan Ummu Salamah (Tevi Darsiny), 14, dilakukan di depannya.
Peguam M Kulasegaran dan N Selvam mewakili Indira Gandhi; peguam Hatim Musa mewakili Muhammad Riduan; Peguam Kanan Persekutuan, Norhisyam Ismail mewakili Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran manakala Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Mohd Hamzah Ismail mewakili Kerajaan Perak, Pendaftar Mualaf dan JAIP.
Indira Ghandi melalui peguamnya memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi itu untuk membatalkan Perakuan Memeluk Islam tiga anaknya itu pada 25 Oktober 2009.
Wanita itu kemudian membuat permohonan kepada mahkamah sama supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan empat persoalan berkaitan perundangan bagi kes ibu bapa dan anak-anak yang terbabit dalam perkahwinan didaftarkan mengikut Akta Pembaharuan (Perkahwinan dan Cerai) 1976.
Ia termasuk persoalan sama ada ibu atau bapa secara sebelah pihak boleh menukar agama anak mereka yang masih di bawah umur kepada Islam selepas perkahwinan tanpa mendapat persetujuan sebelah pihak lain dan keputusan mana terpakai jika berlaku pertentangan perintah yang dikeluarkan antara Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Syariah.
Kes pasangan berkenaan pernah mendapat perhatian umum hingga Kabinet pada April 2009, memutuskan kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas salah seorang pasangan itu menukar agama. Keputusan itu bagi mengelak individu yang tidak bersalah, terutama anak-anak, menjadi mangsa dan dilayan dengan tidak adil.
Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh pada April 2009 memberikan hak penjagaan tiga beradik itu kepada Muhammad Riduan, tetapi 11 Mac 2010, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Wan Afrah Wan Ibrahim, memutuskan hak penjagaan tiga beradik itu diserahkan kepada bekas isterinya.
Kulasegaran yang ditemui berkata beliau akan berbincang dengan anak guamnya untuk tindakan lanjut selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu.
- BH, 22/10/2011
No comments:
Post a Comment