ALOR GAJAH 22 Nov. - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka muncul cawangan yang mencatat kemasukan penuntut baru paling ramai apabila 1,600 orang mendaftar untuk kemasukan sesi 2011/2012 minggu lalu.
Rektornya, Prof. Madya Datuk Dr. Mizan Hitam berkata, jumlah tersebut adalah yang tertinggi berbanding cawangan-cawangan UiTM lain di seluruh negara yang turut menerima kemasukan penuntut baru.
Menurutnya, kemasukan penuntut baru di cawangan tersebut sepatutnya 1,200 orang, tetapi atas permintaan ia dibuka kepada tambahan 400 lagi penuntut.
"Ini adalah penghargaan tertinggi buat UiTM Cawangan Melaka kerana permintaan tinggi selain kita mampu menampung penuntut baru yang meningkat tahun ini.
"Ia memberi gambaran betapa UiTM yang teras kewujudannya sebagai institusi pendidikan awam bagi membangunkan anak bangsa kini berada pada tahap unggul," katanya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut sebanyak 90 peratus penuntut baru itu adalah di bawah program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB).
Mizan berkata, mereka yang mengikuti MDAB diserap masuk ke dalam pelbagai program yang ditawarkan universiti itu.
Dari segi penginapan pula katanya, kesemua penuntut baru itu ditawarkan tempat tinggal di beberapa kolej kediaman di kampus itu.
Beliau berkata, jumlah penuntut yang mengikuti 15 pengajian di peringkat diploma adalah seramai 9,000 orang.
Menurutnya, UiTM cawangan Melaka menawarkan 15 program diploma antaranya Diploma Pengurusan Perniagaan, Perakaunan, Pentadbiran Awam, Seni Lukis dan Seni Reka, Pelancongan dan Komunikasi Pengajian Media.
- Utusan
No comments:
Post a Comment