Powered by Blogger.

Thursday, November 24, 2011

Ragam bila khatan beramai- ramai di Kg. Chnnang Kemboja

  NR       Thursday, November 24, 2011

JOHOR BAHRU 22 Nov. _ Demi tuntutan agama untuk mengkhatan anak masing-masing, segelintir penduduk beberapa daerah di Kampung Chnnang, Kemboja sanggup melalui perjalanan sejauh 50 kilometer menaiki lori yang disewa dengan kadar sewaan RM300.

Malah, ada yang sudah dibius sempat lari keluar dari bilik hanya kerana takut dan tidak termasuk terpaksa memujuk si anak berjam-jam lamanya bagi meyakinkan berkhatan itu tidak sakit.

Baik di Malaysia mahupun di Kemboja, fenomena 'lari dan pujuk' itu adalah perkara biasa apabila tiba musim berkhatan.
Biarpun begitu, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat petugas Pusat Kesihatan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melaksanakan tanggungjawab mengkhatankan 55 kanak-kanak beberapa daerah di Kampung Chnnang.

Pengarah Pusat Kesihatan UTM, Dr. Ismail Ahmad berkata, program khatan beramai-ramai itu diadakan sempena Program Korban, Aqiqah dan Khidmat Masyarakat Bersamamu Kemboja 2011 yang dianjurkan oleh Kolej Rahman Putra, baru-baru ini.

"Sesi berkhatan percuma diadakan selama dua hari dari pagi hingga petang. Ia berjaya menarik 55 kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun untuk melaksanakan tuntutan agama ini.

"Sebelum ini, UTM pernah menjalankan aktiviti yang sama pada tahun 2009 dengan melibatkan 150 orang kanak-kanak," katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Pada hari sama, pemeriksaan kesihatan secara percuma turut diadakan untuk memberi khidmat nasihat berhubung tahap kesihatan penduduk setempat yang mana dari faktor kebersihan, kunjungan kali ini memperlihatkan penduduk termasuk golongan kanak-kanak menjaga kebersihan diri biarpun tidak menyeluruh.

"Kita mahu didik mereka supaya lebih mementingkan kebersihan diri dan kawasan sekitar supaya kehidupan mereka lebih selesa dan kesihatan terjamin," katanya.

Timbalan Menteri Kebajikan Masyarakat, Veteran dan Pemulihan Belia Kemboja, Ismail Osman berkata, program berkhatan yang dijalankan oleh UTM itu banyak membantu keluarga di Kampung Chnnang dalam melaksanakan tuntutan agama.

"Jika di Kemboja, seorang kanak-kanak dikenakan bayaran kira-kira sehingga RM100 bagi tujuan tersebut. Dengan taraf kehidupan penduduk di sini, maka program UTM ini benar-benar membantu mereka," katanya.
logoblog

Thanks for reading Ragam bila khatan beramai- ramai di Kg. Chnnang Kemboja

Previous
« Prev Post

No comments: