Powered by Blogger.

Thursday, November 24, 2011

5,500 pemohon daftar portal Jobs.Perak

  NR       Thursday, November 24, 2011

IPOH 23 Nov. - Sebanyak 5,500 pemohon telah mendaftar dalam portal Jobs.Perak yang diwujudkan oleh Pusat Kerjaya Amanjaya (Peka) bagi membantu lepasan sekolah dan institusi pengajian tinggi di negeri ini mendapatkan pekerjaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, daripada jumlah itu, 2,000 pemohon berjaya ditempatkan di sektor awam dan swasta.

Beliau berkata, tanggungjawab Peka adalah untuk menyelaras, melatih dan memperlengkapkan kesesuaian, membuat penilaian, mewujudkan profail, meneliti kecenderungan dan minat pemohon bagi memastikan mereka mendapat pekerjaan sesuai.

"Kita mengumpul data pemohon serta menyediakan latihan dan kemahiran berkomunikasi sebagai pendedahan kepada mereka sebelum melangkah ke alam pekerjaan di sektor awam dan swasta," katanya menjawab soalan lisan Datuk Samsudin Abu Hassan (BN-Ayer Kuning)pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Zambry memberitahu, langkah yang dibuat oleh Peka itu bagi membolehkan golongan pencari kerja bersedia dan menepati kehendak dan keperluan industri sebelum ditempatkan di mana-mana organisasi.

Katanya, Peka juga membuka kaunter pendaftaran melalui program 'turun padang' skuad ronda Jobs.Perak sejak Oktober lalu di sekitar Taiping, Tanjung Malim, Gopeng dan Manjung.

Selain itu, katanya, golongan pencari kerja akan dipantau dari semasa ke semasa oleh Peka bagi memastikan profil peribadi mereka dikemas kini untuk kemudahan majikan.

"Ini salah satu cara untuk kita selesaikan masalah golongan pencari kerja dan program ini berterusan untuk memastikan anak Perak mendapat pekerjaan memandangkan ribuan lepasan sekolah dan universiti lahir setiap tahun," katanya.

Ketika menjawab soalan tambahan A. Sivanesan (DAP-Sungkai) yang bertanya mengenai kadar pengangguran di negeri ini, Zambry berkata, terdapat 29,000 penganggur di negeri ini atau kadarnya 3.2 peratus.
logoblog

Thanks for reading 5,500 pemohon daftar portal Jobs.Perak

Previous
« Prev Post

No comments: