Powered by Blogger.

Thursday, November 24, 2011

Pelajar Kolej Komuniti Padang Terap Bantu Baiki Rumah Daif

  NR       Thursday, November 24, 2011

Badrol Hisham Hashim (kanan) melihat kerja-kerja pendawaian yang dilakukan dengan kerjasama Kolej Komuniti Padang Terap di Kampung Tanjung Piring, Nami, Padang Terap, baru-baru ini.


PADANG TERAP 22 Nov. - Tiada yang lebih menggembirakan bagi enam penduduk miskin di daerah ini apabila rumah mereka yang selama ini bergelap, bakal diterangi cahaya lampu selepas berpeluang menikmati bekalan elektrik.

Semuanya atas keprihatinan Pemuda UMNO yang bekerjasama dengan Kolej Komuniti Padang Terap menganjurkan program khidmat masyarakat sejak dua minggu lalu dengan melaksanakan kerja-kerja pendawaian baru secara percuma di rumah-rumah berkenaan.

Ketua Jabatan Kejuruteraan Kolej Komuniti Padang Terap, Azizan Abu Seman berkata, penyertaan kolej itu dalam program khidmat masyarakat ibarat serampang dua mata iaitu membantu penduduk selain mempromosikan Kolej Komuniti Padang Terap yang dijangka membuat pengambilan penuntut pertama pada Jun tahun depan.

Pihaknya berharap para peserta akan mendapat kemahiran menerusi program tersebut manakala mereka yang berminat mendalaminya boleh mendaftar di kolej berkenaan untuk mengikuti kursus ditawarkan.

"Kolej komuniti menawarkan sijil modular kebangsaan untuk memberi pendedahan kepada lepasan sekolah mengenai bidang kemahiran dan memilih pekerjaan mengikut skil yang dimiliki," katanya selepas mengikuti program itu di Kampung Tanjung Piring, Nami baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pemuda UMNO negeri, Badrol Hisham Hashim.

Menurut Azizan lagi, Kolej komuniti menawarkan pelbagai bidang kemahiran seperti masakan, jahitan dan bahasa kepada masyarakat setempat yang seharusnya dimanfaatkan penduduk bagi meningkatkan kemahiran masing-masing.

Katanya, pelbagai ilmu dan kemahiran jangka pendek yang ditawarkan oleh kolej berkenaan dapat membantu penduduk terutama golongan berpendapatan rendah menambah pendapatan isi rumah.

"Kita menawarkan pelbagai bentuk kursus kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan semasa bagi menambah kemahiran seseorang individu itu supaya mereka memperoleh pengetahuan dalam bidang diceburi.

"Semua kelompok masyarakat termasuk yang masih menganggur disaran menyertai latihan kemahiran dan bahasa yang disediakan ini bagi membina masa depan yang lebih baik," katanya.

Sementara itu Badrol Hisham memberitahu, menerusi kerjasama tersebut belia setempat akan menjalankan kerja-kerja pendawaian elektrik dengan diawasi oleh tenaga pengajar dari Kolej komuniti.

Katanya, belia yang terlibat turut menerima kursus ringkas daripada tenaga pengajar terbabit sebelum membuat pendawaian bagi memastikan ia berfungsi dengan baik apabila bekalan elektrik disalurkan kelak.

"Program ini bukan sahaja membantu penduduk tetapi sedikit sebanyak membantu belia mendapat kemahiran. Ia juga dapat menerapkan nilai-nilai murni dalam diri peserta," katanya.

Badrol Hisham yang juga Ketua Pemuda UMNO Padang Terap berkata, program khidmat masyarakat itu akan diperluaskan bagi memastikan lebih ramai golongan miskin dibantu.

Katanya, Pemuda UMNO akan mengenal pasti rumah-rumah yang memerlukan bantuan berkenaan selain menyediakan peserta manakala kolej komuniti pula berperanan sebagai tenaga pengajar dan pemantau.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading Pelajar Kolej Komuniti Padang Terap Bantu Baiki Rumah Daif

Previous
« Prev Post

No comments: