Pelajar sekolah rendah dari Kuala Lumpur menjulang piala yang dimenangi apabila diumumkan sebagai johan keseluruhan Pertandingan Robothon Muda Kebangsaan Ke-6 di Pulau Pinang, semalam.
PULAU PINANG 28 Nov. – Kementerian Pelajaran
akan memperluaskan kelab robotik di seluruh negara pada tahun depan bagi
melahirkan lebih ramai pelajar yang kompeten dalam bidang sains dan teknologi.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad
Zarkashi berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat kementerian
baru-baru ini dan dipersetujui sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin.
Jelasnya, setakat ini hanya 500 daripada
10,000 sekolah rendah dan menengah mempunyai kelab robotik dan jumlah tersebut
dilihat agak rendah.
“Lantaran itu, kita mahu memperkembangkan
pendidikan robotik ini kerana ia akan memberikan kesan positif untuk membina
daya fikir, saing dan juga semangat berpasukan di kalangan para pelajar.
“Tambahan pula, kelab ini adalah penting dan
selaras dengan transformasi pendidikan iaitu memberi tumpuan terhadap
pembangunan modal insan dan tidak lagi berasaskan kepada peperiksaan
semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar
selepas penutupan dan penyampaian hadiah Pertandingan Robothon Muda Kebangsaan
Ke-6 di sini hari ini.
Pada perkembangan sama, Mohd. Puad berharap
semua pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta syarikat swasta
dapat membantu sekolah dalam menubuhkan kelab berkenaan.
Ia kerana, kata beliau, kos untuk menubuhkan sebuah
kelab robotik adalah kira-kira RM20,000.
Sementara itu, sebanyak 120 kumpulan dari
beberapa sekolah rendah di seluruh negara menyertai pertandingan tersebut.
Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Jalan
Davidson, Kuala Lumpur berjaya memenangi tempat pertama dalam tiga kategori
iaitu Lycantron NXT, Galacticon RCX dan Galacticon NXT.
Manakala, SJKC Yuk Chai, Selangor menjuarai
kategori Lycantron RCX.
Utusan Malaysia Online: 29 November 2011
No comments:
Post a Comment