Mohamad Md. Yusof menunjukan sepucuk revolver yang dibuang oleh seorang lelaki di Pelabuhan Klang pada sidang akhbar di IPD Klang Selatan, semalam.
KLANG 14 Nov. – Polis percaya telah menyelesaikan 38 kes curi motosikal di sekitar Klang Selatan dengan tertangkapnya 21 lelaki termasuk 12 pelajar dalam Ops Lejang Bersepadu bermula 1 November hingga semalam.
Kesemua suspek berusia 14 hingga 31 tahun dan daripada 12 pelajar yang diberkas, empat merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sepatutnya menghadiri peperiksaan itu hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof berkata, sepanjang Ops Lejang Bersepadu itu, pihaknya turut menemui semula 13 motosikal curi bernilai RM52,000 hasil soal siasat dan penahanan kesemua suspek.
Beliau berkata, sebahagian suspek telah dituduh di mahkamah dan sebahagian lagi masih disiasat mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan.
“Tiga daripada empat calon SPM yang ditahan telah dibebaskan dengan ikat jamin. Seorang lagi dituduh di mahkamah Jumaat lalu dan mungkin terpaksa mengambil SPM di penjara hari ini jika keluarganya gagal membayar wang jaminan,” kata beliau kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di sini petang ini.
Kata Mohamad, dalam operasi sama Jumaat lalu, pihaknya turut memberkas seorang suspek yang mempunyai enam rekod jenayah selain dikehendaki membantu siasatan satu kes bunuh.
Menurut beliau, suspek yang menaiki motosikal Modenas Kriss ditahan di Lorong Seroja, Pelabuhan Klang selepas enggan berhenti ketika cuba ditahan di persimpangan lampu isyarat Jalan Tengku Badar, Pelabuhan Klang, pukul 11 malam.
“Semasa melarikan diri, suspek sempat membuang satu objek ke tepi longkang berhampiran tempat dia ditahan dan pemeriksaan mendapati objek yang dibuang itu adalah sepucuk revolver jenis Colt. 38 Special tanpa peluru.
“Polis yang menjalankan siasatan lanjut telah memeriksa rumah suspek di Jalan Seroja off Jalan Tengku Badar, Pelabuhan Klang dan menemui 11 butir peluru hidup,” kata beliau.
Tambah beliau, suspek berusia 36 tahun itu ditahan reman selama enam hari sehingga Rabu ini mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960.
- Utusan

No comments:
Post a Comment