Powered by Blogger.

Tuesday, November 15, 2011

SMK Tengku Mahmud II & SK Kuala Besut Juara Kebersihan Sekolah Peringkat Negeri 2011

  NR       Tuesday, November 15, 2011
KUALA TERENGGANU 14 Nov. - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud II, Besut dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Besut menjuarai pertandingan kebersihan Sekolah menengah dan rendah peringkat negeri 2011.

Masing-masing menerima wang tunai RM5,000, sijil dan plak manakala tempat kedua dengan hadiah wang tunai RM3,000 dimenangi oleh SMK Lembah Bidong, Setiu, SK Seri Bandi 11, Kemaman.

Tempat ketiga pula disandang oleh SMK Tun Telanai, Marang SK Batu Tiga, Dungun dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.

Upacara penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Wan Ahamad Wan Muda.

Berucap pada majlis itu, Wan Ahamad turut menyarankan setiap daerah mempunyai sebuah sekolah bersih sebagai model yang boleh dijadikan sumber inspirasi dan penanda aras kepada sekolah lain.

"Ia dapat merangsang ke arah persaingan yang sihat kalangan warga pendidik dan pelajar ke arah membudayakan aspek kebersihan dalam kehidupan," ujarnya.

Dengan cara itu, katanya, bukan sahaja sekolah dan kampung yang kelihatan bersih malah, hubungan masyarakat juga menjadi erat dan harmoni.

"Pembentukan budaya mencintai kebersihan wajar dimulakan seawal usia muda dan inisiatif kerajaan menganjurkan beberapa kategori pertandingan kebersihan secara tidak langsung menjadi serampang dua mata yang memberi impak besar pada sektor pelancongan,'' katanya.

Menurut beliau, selain itu, sebanyak RM1.41 juta diperuntukkan bagi menjayakan keseluruhan pertandingan kebersihan membabitkan kawasan kampung, sekolah, pra sekolah, tadika, premis makanan, masjid dan tanah perkuburan.

Beliau menarik perhatian, secara keseluruhan, kerajaan negeri memperuntukkan RM31 juta bagi meningkatkan kebersihan dan keceriaan membabitkan pelbagai program di seluruh negeri tahun ini.

Ia melibatkan program dalam kawasan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), pengindahan landskap kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta bantuan pengurusan kebersihan bandar.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading SMK Tengku Mahmud II & SK Kuala Besut Juara Kebersihan Sekolah Peringkat Negeri 2011

Previous
« Prev Post

No comments: