
Pengarah Pelajaran Sabah Datuk Dr Muhiddin Yusin berkata
Jabatan Pelajaran Sabah memilih Sekolah Kebangsaan (SK) Kabogan, Semporna
sebagai lokasi pengumuman keputusan UPSR Sabah bagi memberi motivasi kepada
sekolah yang terletak jauh dari ibu negeri untuk terus berusaha gigih.
"Dengan kita mengadakannya di SK Kabogan ini, yang
keputusannya agak baik di Semporna ini, saya yakin ia akan menimbulkan
kesedaran yang sukar untuk mereka lupakan. Selalunya anak-anak cemerlang yang
kita panggil ialah dari kawasan Kota Kinabalu.
"Jadi, mengapa tidak sekali-sekala kita buat di luar
Kota Kinabalu supaya pelajar cemerlang di kawasan luar bandar juga berpeluang
untuk kita panggil menghadiri majlis seumpama ini," katanya kepada
pemberita.
Dr Muhiddin ketika mengumumkan keputusan peperiksaan itu
berkata 1,018 calon di negeri ini mendapat keputusan semua A dan daripada
jumlah itu seramai 859 calon adalah dari SK manakala 159 lagi merupakan calon
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRJK).
SK terbaik di Sabah ialah SK Sri Gaya, Kota Kinabalu dengan
43 calon mendapat semua A dan SKJ Cina terbaik ialah SKJC St James, Kota
Kinabalu dengan 21 calon semua A, katanya.
Di SARAWAK, sebanyak 88 buah sekolah mencatat pencapaian 100
peratus lulus dengan melibatkan 79 SK dan sembilan SKJC, kata Pengarah
Pelajaran negeri Abdillah Adam.
Seramai 1,835 daripada 43,849 calon memperoleh semua A bagi
semua mata pelajaran dengan 1,319 calon dari SK dan SJKC (516).
Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Pelajaran Abdul Halim Abdul
Razak berkata pencapaian calon mendapat semua A menurun sedikit iaitu 0.8
peratus daripada 12.4 peratus tahun lepas kepada 11.6 peratus tahun ini.
Pencapaian calon cemerlang bandar mengalami peningkatan 0.2
peratus manakala calon luar bandar mengalami penurunan sebanyak 1.3 peratus,
katanya pada pemberita.
Di WILAYAH PERSEKUTUAN, seramai 2,690 daripada 24,454 calon
mendapat keputusan semua A dan keputusan itu menurun sedikit daripada 11.32
peratus tahun lepas kepada 11.23 peratus tahun ini.
Pengarah Pelajaran Datuk Khairil Awang berkata indeks Gred
Prestasi Negeri (GPN) pencapaian keseluruhan UPSR bagi Wilayah Persekutuan juga
menurun daripada 2.16 tahun lepas berbanding 2.17 tahun ini.
Di PERLIS, Pengarah Pelajaran Dun Kasa berkata keputusan
lulus UPSR meningkat 1.59 peratus tahun ini berbanding tahun lepas apabila
2,833 calon lulus berbanding 2,677 calon tahun lepas.
Beliau berkata hanya 388 daripada 4,540 calon memperoleh
keputusan cemerlang dengan semua A dan dua sekolah luar bandar yang mencatat
peratus pencapaian keseluruhan melebihi 90 peratus iaitu SK Titi Tok Bandar
dengan 95.24 peratus dan SK Padang Keria (91.18 peratus).
Di SELANGOR, Pengarah Pelajaran Abdullah Mad Yunus berkata
seramai 67,494 daripada 86,092 calon lulus dalam keputusan UPSR tahun ini, dan seramai
9,004 calon berjaya mendapat keputusan cemerlang iaitu 5A dan 7A dalam semua
mata pelajaran.
Pengarah Pelajaran TERENGGANU Razali Daud berkata pencapaian
keseluruhan UPSR negeri itu meningkat 15.6 peratus berbanding 15.4 peratus
tahun lepas.
Seramai 3,548 daripada 22,801 calon negeri itu memperoleh
keputusan cemerlang dengan semua A, katanya.
Di PULAU PINANG, SK Bertam Indah dipilih sebagai sekolah
terbaik apabila 90 pelajar daripada 211 pelajarnya memperoleh keputusan
cemerlang 5A, kata Pengarah Pelajaran Ahmad Tarmizi Kamaruddin.
Beliau berkata negeri itu mencatatkan seramai 2,652 daripada
24,874 calon UPSR berjaya memperoleh keputusan semua A, katanya pada sidang
media.
Murid SK Pendidikan Khas (SRPK) Alma, Muhammad Iskandar Shah
Mohd Nawi, 12 yang cacat penglihatan dipilih sebagai murid pendidikan khas
terbaik setelah mendapat keputusan 4A dan 1B.
Di PAHANG, Pengarah Pelajaran Pahang Yahya Zainal Abidin
berkata pencapaian calon UPSR di Pahang pada keseluruhannya kekal pada GPN
iaitu 2.2.
"Seramai 2,967 memperoleh 5A berbanding 3,359 calon pada
tahun sebelumnya," katanya sambil menambah kata bahawa empat calon Orang
Asli memperoleh 5A daripada 727 calon di Pahang.
Di MELAKA, lima sekolah berjaya memperoleh keputusan 100
peratus minimum 'C' bagi semua mata pelajaran iaitu SK Convent Infant Jesus 2,
SK Pegoh, SK Berisu, SKJ Cina Kemendor dan SKJ Tamil Ladang Serkam.
Pengarah Jabatan Pelajaran Mohamad Yusoff Osman berkata
pencapaian calon cemerlang semua A menurun sedikit (0.4 peratus) iaitu daripada
10.4 peratus pada tahun lepas kepada 10 peratus pada tahun ini.
Di JOHOR, Pengarah Pelajaran Mohd Nor A.Ghani berkata seramai
5,753 daripada 58,923 murid UPSR di negeri itu memperoleh A dalam semua mata
pelajaran dan ia menurun 0.85 peratus daripada 10.61 peratus tahun lepas kepada
9.76 peratus tahun ini.
Beliau berkata SK Bandar Uda 2 menjadi sekolah paling ramai
murid cemerlang semua A seramai 83 orang, diikuti SK Kota Masai, Pasir Gudang
(82 orang) dan SKJ Cina Kuo Kuang 2, Skudai (79 orang).
Di KELANTAN, Pengarah Jabatan Pelajaran Hussain Awang berkata
prestasi positif GPN yang diperoleh merupakan yang terbaik dalam tempoh lapan
tahun iaitu 2.09 berbanding 2.22 pada tahun lalu.
Beliau berkata jumlah calon semua A turut meningkat 0.95
peratus, kepada 5,282 orang calon tahun ini berbanding 5,128 tahun lepas.
Sementara seorang pelajar cacat penglihatan, Mohamad Qayyim
Nizar Sarimi daripada Sekolah Kebangsaan Kampong Sireh, Kelantan, muncul
pelajar terbaik kategori calon berkeperluan khas negeri Kelantan dengan
keputusan 3A 2B.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment