KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran semalam menjelaskan antara
faktor yang menyebabkan kekosongan kuarters perguruan adalah kerana guru tidak
mahu kehilangan imbuhan tetap perumahan (ITP).
Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong memberitahu Dewan
Rakyat bahawa kerajaan memberi ITP kepada guru bagi memastikan kebajikan mereka
terjaga dan prestasi kerja pula sentiasa mantap dalam industri pendidikan
negara.
“Kita bagi ITP dan elaun sara hidup kepada guru tetapi bagi yang
tinggal di kuarters perguruan, mereka tidak akan menerima ITP ini.
“Kalau yang tinggal di Padang Terap, mungkin mereka boleh sewa
sebuah rumah yang harganya lebih kurang RM300 sebulan jadi mereka memilih untuk
tinggal di luar bagi mengelakkan ITP dipotong,” katanya ketika menjawab soalan
tambahan Mohd Nasir Zakaria (PAS-Padang Terap).
Wee berkata, jumlah ITP yang diterima oleh guru di negara ini
adalah berdasarkan gred iaitu guru gred DG41 menerima RM300; guru bergred DG44
(RM400) dan guru bergred DG48 (RM550).
“Jika mereka tinggal di kuarters guru, kementerian akan memotong
separuh daripada jumlah ITP yang mereka terima, jadi inilah faktor yang
menyebabkan guru memilih untuk menyewa daripada tinggal di kuarters perguruan,”
katanya.
Sementara itu, Wee turut menjawab cadangan yang dikemukakan oleh
Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) supaya kuarters perguruan yang kosong disewakan
kepada pelajar tingkatan enam sebagai asrama.
Beliau berkata kementerian menerima dengan terbuka cadangan
tersebut kerana terdapat banyak kuarters perguruan yang tidak dihuni di negeri
Kedah namun kementerian tetap akan memberi keutamaan kepada guru untuk tinggal
di kuarters perguruan. — Bernama
No comments:
Post a Comment