Powered by Blogger.

Tuesday, November 15, 2011

UNIMAS Akan Perkenal Biofuel Daripada Hampas Pokok Sagu

  NR       Tuesday, November 15, 2011

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) melalui Pusat Kajian Sagu akan memperkenalkan biofuel yang dihasilkan daripada hampas pokok sagu.

Naib Canselor UNIMAS Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid berkata penghasilan biofuel tersebut merupakan yang pertama di negara ini menggunakan hampas sagu.

“Kami telah memulakan kajian ini sejak 10 tahun lalu oleh Kumpulan Pusat Kajian Sagu UNIMAS yang terdiri daripada beberapa pelajar dan pensyarah serta pakar dari Jepun.

“Hasil kajian hampas pokok sagu ini dikomersialkan untuk menghasilkan biofuel yang akan dijadikan bahan asas untuk pembuatan perabot, agronomik dan tekstil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kepustakawanan 2011, di sini semalam.

Beliau menambah, sebanyak RM11 juta telah disalurkan oleh Kementerian Sains dan Inovasi (MOSTI) untuk kajian dan pembinaan loji perintis bagi projek tersebut.

Justeru beliau memberitahu, loji perintis tersebut akan dilancarkan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada bulan depan.

“UNIMAS telah mengkaji mengenai penggunaan sagu secara keseluruhannya di loji perintis yang dimulakan pada tahun lepas.

“Projek ini adalah hasil daripada peruntukkan yang disalurkan oleh MOSTI dan kami menjangkakan akan melancarkan pembukaan loji perintis ini secara rasmi untuk tontonan umum dan pameran pada bulan depan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memberitahu bahawa UNIMAS kini juga sedang giat menjalankan perbincangan bersama pihak Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) untuk menghasilkan biodiesel dan baja organik melalui hampas kelapa sawit.

“KAMI akan menggunakan satu kilang milik SALCRA di kawasan Bau sebagai pusat kajian dengan mengambil sisa kelapa sawit daripada ladang tersebut untuk menghasilkan biodiesel dan baja organik dengan mencipta gas untuk tenaga elektrik dan air bersih untuk sektor industri.

“Sebelum ini biodiesel dan baja organik hanya dihasilkan daripada sisa perbandaran dan melalui kajian ini nanti, kami akan menjadi yang pertama menghasilkan biodiesel menggunakan sisa kelapa sawit,” katanya.
Menurutnya, projek tersebut dijangka akan bermula pada pertengahan tahun depan.

“Projek mungkin akan bermula pada pertengahan tahun depan iaitu dengan kerjasama daripada rakan industri dari Semenanjung Malaysia,” katanya sambil menambah kos untuk projek itu dijangka mencecah sehingga RM7 juta.

Tambahnya, kesemua projek tersebut adalah usaha UNIMAS untuk mencipta sesuatu yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat.

“Inovosi bukan sahaja menjurus kepada penciptaan sesuatu yang cangih,tetapi ia juga termasuk dalam penciptaan sesuatu yang memberi faedah kepada masyarakat.

“Disebabkan itu, UNIMAS sentiasa memikirkan perkara yang dapat memberikan sesuatu yang berguna kepada masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.

-       UB
logoblog

Thanks for reading UNIMAS Akan Perkenal Biofuel Daripada Hampas Pokok Sagu

Previous
« Prev Post

No comments: