Powered by Blogger.

Thursday, November 17, 2011

UUM, UniMAP, NCIA anjur bengkel banjir

  NR       Thursday, November 17, 2011

SEBAHAGIAN peserta yang menghadiri bengkel pengurusan bencana banjir bertemakan ‘Perkongsian Strategik Kerajaan –Swasta - Komuniti Dalam Pengurusan Risiko pada Pra, Semasa dan Pasca Banjir di UUM Sintok, di Kubang Pasu, baru-baru ini.


KUBANG PASU 15 Nov. – Universiti Utara Malaysia (UUM) menganjurkan bengkel mengenai banjir yang dihadiri golongan akademik, agensi awam, swasta dan komuniti selama dua hari bermula semalam.

Bengkel pengurusan bencana banjir yang bertemakan ‘Perkongsian Strategik Kerajaan–Swasta-Komuniti Dalam Pengurusan Risiko pada Pra, Semasa dan Pasca Banjir’ adalah anjuran bersama UUM, Universiti Malaysia Perlis (Unimap, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, perbincangan itu bertujuan menghasilkan strategi yang terbaik dan resolusi yang lebih pragmatik bagi mengurangkan risiko bencana banjir khususnya di kawasan utara Semenanjung.

“Kita sedia maklum bahawa bencana alam seperti banjir, gempa bumi, gunung berapi, tsunami serta ribut taufan akan terus berlaku kerana ia tidak dapat dikawal oleh manusia.

“Kita hanya mampu membendung dan mengurangkan impak serta kesan sampingan dari bencana- bencana alam ini,” katanya di sini, baru-baru ini.

Redza Rafiq memberitahu, bengkel diharap dapat membuahkan hasil sewajarnya terhadap pengurusan banjir membabitkan pihak-pihak berkaitan seperti sektor swasta, kerajaan dan masyarakat.

“Kita juga berharap satu Resolusi Pengurusan Bencana Banjir yang terbaik dapat dihasilkan bagi mengurangi risiko banjir pada masa akan datang,” jelasnya.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, sukarelawan universiti itu yang terdiri daripada kakitangan dan penuntut sudah bersedia untuk menghadapi banjir.

Katanya, semua jabatan dan bahagian di kampus UUM telah digerakkan dari segi keselamatan, penyediaan makanan, peralatan dan perhubungan bagi menghulurkan bantuan kepada kakitangan yang terbabit dan juga membantu masyarakat sekitar sekiranya memerlukan bantuan.

“Mesyuarat dan pemantauan sentiasa dilakukan termasuk mengemas kini data dan perkara yang diperlukan termasuk dari segi logistik, keselamatan dan sebagainya sementara menunggu arahan daripada MKN untuk diambil tindakan,” katanya.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading UUM, UniMAP, NCIA anjur bengkel banjir

Previous
« Prev Post

No comments: