Muhammad Haikal Khuzairi ceria bersama rakan-rakannya ketika
rambutnya digunting pada Program Gunting Rambut - Jom Ke Sekolah secara percuma
di Seberang Takir, Kuala Terengganu, Terengganu, kelmarin.
KUALA TERENGGANU 30 Dis. - Kira-kira 150 murid
sanggup menunggu seawal pukul 8 pagi di pekarangan Pejabat Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Seberang Takir di sini untuk mendapatkan khidmat gunting rambut
percuma.
Program itu diadakan sebagai persiapan sesi
persekolahan 2012 tidak lama lagi yang mana menjelang hari tersebut salah satu
persediaan utama pelajar dengan memastikan rambut masing-masing digunting kemas
sebelum ke sekolah.
ADUN Seberang Takir, Ahmad Razif Abd. Rahman
berkata, program sehari itu bertujuan memberi khidmat gunting rambut secara
percuma kepada mereka daripada keluarga kurang berkemampuan.
"Dengan kerjasama 16 tukang gunting rambut
tempatan, program setiap tahun seumpama ini dapat membantu meringankan beban
ibu bapa menjelang sesi persekolahan yang bakal bermula sehari dua lagi.
"Kos menggunting rambut seorang pelajar
sahaja antara RM5 hingga RM8 dan walaupun sumbangan ini tidak besar, ia dapat
menampung sedikit sebanyak kos persediaan persekolahan ibu bapa yang mempunyai
ramai anak," katanya ketika ditemui pada program itu di sini hari ini.
Pada kesempatan itu, Ahmad Razif turut bersama
Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Baru Seberang Takir yang bergotong-royong
menyiapkan empat kawah bubur asyura untuk diagihkan kepada orang ramai.
Pada majlis berasingan sejurus selepas itu,
beliau turut menyampaikan bantuan musim tengkujuh kepada 300 nelayan dan 24
pengusaha bot di DUN berkenaan di Dewan Sivik Seberang Takir, di sini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa
Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri
memberitahu, bantuan wang tunai RM100 dan hamper diberikan kepada setiap
penerima dengan kos keseluruhan hampir RM70,000.
- Utusan
No comments:
Post a Comment