MELAKA 6 Dis. - Seramai 400 pelajar perintis program Teknologi Kejuruteraan dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menghadiri seminar pendedahan pengalaman industri bersama Western Digital di kampus Industri, baru-baru ini.
Seminar itu merupakan program yang telah dirancang khas untuk memberi pendedahan awal kepada para pelajar berkaitan bidang teknologi kejuruteraan terutama dalam sektor industri di Western Digital.
Dekan FTK, Prof. Madya Mohd. Rahimi Yusoff berkata, melalui program tersebut ia akan membuka peluang bagi pelajar bersemuka dan berinteraksi secara terus dengan penceramah jemputan dari Western Digital untuk menjawab persoalan mengenai bidang teknologi kejuruteraan secara khusus dan industri secara amnya.
Menurutnya, program tersebut menjadi satu platform yang boleh mengeratkan lagi jalinan hubungan antara pihak universiti dengan industri pada masa kini dan akan datang.
''Kerjasama dan perkongsian Western Digital dengan UTeM adalah untuk melatih dan mencari graduan bagi mengisi sumber tenaga kerja teknologi kejuruteraan untuk lima hingga 10 tahun akan datang di Western Digital termasuk industri-industri yang lain," katanya di sini baru-baru ini.
Hadir memberi taklimat ialah C. Prasad yang merupakan pengurus dari Western Digital (M) Sdn. Bhd. Petaling Jaya, Selangor.
Sementara itu Prasad berkata, antara kriteria yang dinilai oleh pihak industri untuk pengambilan tenaga kerja antaranya mereka mesti mempunyai tahap kompetensi tinggi, mengusasai ciri-ciri kemahiran insaniah yang baik selain kemahiran komunikasi dan bersahsiah murni.
''Dianggarkan sehingga kini pengembangan industri elektronik di Malaysia berkembang sebanyak 10 peratus setiap tahun," ujarnya.
Sehubungan itu katanya, peluang sebegini seharusnya tidak dilepaskan oleh graduan-graduan teknologi kejuruteraan di FTK untuk memulakan kerjaya di Western Digital setelah tamat pengajian nanti.
- Utusan
No comments:
Post a Comment