Powered by Blogger.

Thursday, December 01, 2011

Debat 211 Jam Pupuk Semangat 1Malaysia Tarik 40 Pelajar Berbilang Kaum

  NR       Thursday, December 01, 2011


Pelajar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram turut serta berdebat. Walaupun muda, pedas juga hujah-hujah mereka.

SHAH ALAM 30 Nov. - Usaha Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam menjayakan Debat Bahasa Melayu 211 Jam Tanpa Henti (Debat 211 Jam) berupaya memupuk semangat 1Malaysia terutamanya di kalangan para peserta yang terlibat.

Buktinya, program ini berjaya menarik minat penglibatan seramai 40 pelajar berbilang kaum mewakili empat pasukan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Empat, Bandar Baru Bangi pada sidang 148, 149, 150 dan 151 yang berlangsung di sini, hari ini.

Guru pembimbing yang juga Guru Cemerlang Bahasa Melayu sekolah itu, Nazilah Mohd. Yusof berkata, penglibatan pelajar pelbagai kaum dalam program debat ini adalah salah satu usaha untuk menambahkan minat mereka terhadap bahasa Melayu terutamanya bagi pelajar Cina dan India.

"Sambutan daripada pelajar-pelajar bukan Melayu yang kesemuanya merupakan kali pertama menyertai program debat ini amat menggalakkan.

"Pemilihan pasukan sekolah untuk program ini terbuka kepada sesiapa sahaja dan tidak terbatas kepada pelajar Melayu sahaja agar hak sama rata dapat dirasai oleh semua pelajar berbilang kaum yang terdapat di sekolah kami," katanya.

Empat usul yang dicadangkan oleh empat pasukan SMK Jalan Empat ini ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB) Teras Transformasi Negara, Generasi Merdeka Mampu Mentransformasikan Negara, Sekolah Wawasan Mempengaruhi Perpaduan dan Sekolah Wawasan Tunjang Perpaduan.

Menurut Nazilah, program debat ini merupakan platform untuk para pelajar mendapat pengalaman, selain membantu pihak sekolah mengadakan jaringan dan jalinan dengan pihak luar seperti universiti bagi memenuhi kriteria yang ditetapkan kepada Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

"Program ini juga boleh digunakan sebagai tiket untuk memenuhi syarat 10 peratus kelayakan kokurikulum bagi melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) apabila tamat persekolahan kelak," ujarnya.

Sementara itu, 'Ketua Pembangkang' iaitu Sadira Yeong Min Yi, 16, berkata, kesempatan untuk menyertai cabaran berhujah pada program debat ini diambil bagi mencari pengalaman baru yang sangat menarik dan berguna terutamanya kepada pelajar sekolah.

"Walaupun ia dianjurkan di peringkat universiti, kami merasakan bahawa penglibatan pelajar sekolah sangat memberi manfaat serta mematangkan diri.

"Selain itu, melalui program ini juga, keyakinan diri para pelajar dalam mengutarakan pendapat serta idea-idea yang bernas dan berinformasi dapat ditingkatkan," katanya yang bercita-cita menjadi doktor.

Rakannya, Sejjetrah Subramaniam, 16, pula memberitahu, penglibatan pelajar pelbagai kaum dalam program ini merupakan sesuatu yang sangat positif.

"Peluang untuk menyertai debat bahasa Melayu oleh semua kaum sememangnya perlu dalam usaha untuk meningkatkan perpaduan selain memupuk semangat cintakan negara serta kekitaan di kalangan para pelajar.

"Semangat ini amat diperlukan dan harus ditanam dalam diri pelajar dalam usia muda agar semangat 1Malaysia dapat mereka amalkan sehingga dewasa," katanya.

Dua pelajar ini berhujah pada sidang ke-151 yang turut disertai oleh Aina Nabilah Faizah Ahmad Bustamam, Batrisyia Syazana Faridon, Noor Syaqirah Kamaludin dan Farah Afiqah Sabri.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading Debat 211 Jam Pupuk Semangat 1Malaysia Tarik 40 Pelajar Berbilang Kaum

Previous
« Prev Post

No comments: