SHAH ALAM 29 Nov. – Enam pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeram, Kuala Selangor tampil sebagai sekolah pertama menyahut cabaran menjayakan program Debat Bahasa Melayu 211 Jam Tanpa Henti anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.
Guru pembimbingnya, Siti Zuraini Mat Sangir berkata, kesempatan menyertai pertandingan debat itu tidak akan dipersiakan kerana ia memberi suatu pengalaman berharga kepada para pelajar.
“Pengalaman ini dapat dijadikan landasan kepada mereka untuk memperoleh pengiktirafan atau sijil yang boleh digunakan sebagai tiket bagi memenuhi kriteria melanjutkan pelajar ke institusi pengajian tinggi kelak,” kata guru Bahasa Melayu ini.
Beliau menambah, penglibatan dalam program seperti ini juga boleh menjadi motivasi kepada para pelajar untuk sentiasa meningkatkan usaha dalam melakukan apa- apa perkara selain menanam sifat suka bersaing secara sihat.
“Ia juga dilihat mampu memberi motivasi kepada pelajar-pelajar lain untuk melibatkan diri dalam program-program bermanfaat yang dianjurkan di peringkat sekolah atau pihak luar.
“Selain itu, program ini jelas dapat membantu menaikkan nama sekolah terutamanya sekolah luar bandar yang mampu bersaing dengan sekolah-sekolah lain dalam apa juga bidang yang diceburi,” jelasnya.
SMK Jeram diwakili oleh Muhammad Ilyasa’ Alimuddin, Muhammad Ihsan Hilfi Arif Mazlan dan Sazaratul Nazihah Ahmad sebagai pencadang yang menggagaskan usul ‘Perkahwinan Usia Muda Wajar Digalakkan’ pada sidang ke-123. Pembangkang dari sekolah yang sama diwakili Jualiha Razali, Nur Fatin Nazira Azfarsham dan Nurul Ikhwan Salam.
Menurut Muhammad Ilyasa’, 16, program debat ini bukan sahaja mampu melatih meningkatkan penguasaan berbahasa malah membantu menaikkan lagi keyakinan diri untuk bercakap dan berhujah di depan khalayak ramai.
“Ia juga melatih para pelajar untuk membuat persediaan awal yang sangat penting sebelum melakukan sesuatu perkara contohnya, mencari maklumat dan fakta-fakta kukuh untuk memperkuatkan usul yang dibentangkan,” ujarnya.
Katanya, walaupun gementar kerana majoriti yang menyertai program ini merupakan para penuntut universiti tetapi dia tetap bersemangat dan berazam melakukan yang terbaik demi mendapatkan pengalaman berharga.
Sementara itu, wakil pihak pembangkang, Jualiha berkata, penglibatan dalam program itu amat berguna sebagai pengalaman dan persediaan untuk mewakili sekolah pada pertandingan debat pada masa akan datang.
- Utusan
No comments:
Post a Comment