Powered by Blogger.

Monday, December 12, 2011

Dokumen Perjalanan Terhad (DPT) di Limbang Disenarai Hitam PTPTN

  NR       Monday, December 12, 2011

Dokumen Perjalanan Terhad Bewarna Biru - Gambar Hiasan

LIMBANG 9 Dis. – Peminjam tegar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dari daerah ini ibarat menerima hukuman lebih berat berbanding peminjam lain yang turut disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen daripada ke luar negara.

Sewaktu peminjam tegar lain boleh bergerak bebas di negara sendiri, nasib yang dihadapi mereka lebih teruk apabila penyenaraian hitam itu menyebabkan mereka tidak boleh keluar masuk ke daerah sendiri.

Ini kerana daerah ini diapit oleh negara Brunei yang memerlukan mereka melalui pos Imigresen di Tedungan dan Pandaruan untuk melintasi negara itu sebelum ke kawasan lain di negeri ini ataupun Sabah.

Bagaimanapun, dokumen perjalanan terhad (DPT) atau lebih dikenali sebagai pasport biru oleh penduduk tempatan turut disenarai hitam sebagaimana pasport antarabangsa berwarna merah.

Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibollah sehubungan itu merayu kepada PTPTN dan Jabatan Imigresen supaya memberi kelonggaran dalam aspek penggunaan DPT oleh peminjam tegar terbabit.

Katanya, DPT adalah satu dokumen penting penduduk daerah itu dan ia tidak wajar disamakan dengan pasport antarabangsa.

“Memang tidak ada jalan darat untuk mereka keluar dari daerah Limbang tanpa perlu melalui pos Imigresen memasuki Brunei untuk ke bahagian lain di Sarawak atau Sabah.

“Pilihan yang ada hanyalah menggunakan kapal terbang ke Miri dengan jadual perjalanan dua ke tiga kali sehari, namun ia menyulitkan pada waktu kecemasan selain membebankan jika peminjam berkenaan mempunyai ahli keluarga yang ramai,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Sehingga 31 Ogos lalu, seramai 132,801 peminjam PTPTN dikenakan tindakan senarai hitam pengeluaran pasport oleh Jabatan Imigresen dan dihalang daripada ke luar negara membabitkan jumlah pinjaman sebanyak RM2.1 bilion.

Mengulas lanjut, Hasbi berkata, beliau telah menerima kira-kira empat ke lima aduan mengenai masalah itu namun percaya jumlah peminjam yang berdepan masalah itu adalah lebih besar.

Beliau turut menjelaskan rayuan supaya penggunaan DPT untuk peminjam tegar terbabit dilonggarkan bukannya untuk menggalakkan mereka tidak membayar hutang.

“Saya telah nasihatkan mereka supaya membayar hutang pinjaman dan saya sendiri menyokong pasport antarabangsa peminjam tegar di senarai hitam. Cuma kalau boleh penggunaan DPT ini diberi kelonggaran, jika tidak mereka ini bagaikan terperangkap di daerah sendiri,” katanya yang sudah beberapa kali membangkitkan perkara itu di Parlimen.

- Utusan

logoblog

Thanks for reading Dokumen Perjalanan Terhad (DPT) di Limbang Disenarai Hitam PTPTN

Previous
« Prev Post

No comments: