SEBERANG JAYA - "Tujuh tahun saya menunggu, sejak dari zaman belajar lagi, akhirnya hari ini (Sabtu) saya dapat juga bertemu dengan penulis novel thriller nombor satu negara, Ramlee Awang Murshid," luah Mohd Amin Abidin, 28, dari Bertam, Kepala Batas, Seberang Perai Utara (SPU).
Dia ditemui ketika majlis temu mesra Ramlee di Hasani Books Perai, dekat Pasaraya Carrefour, di sini, hari ini.
Mohd Amin berkata, dia mula jatuh cinta dengan karya penulis tersohor itu selepas membaca novel berjudul Adam terbitan Alaf 21. Ketika itu dia sedang menuntut di Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK), Kuala Lumpur.
Menurutnya, jalan cerita, pembawaan dan penulisan Ramlee juga disifatkan sebagai lain daripada yang lain kerana apa yang disampaikan penulis itu bukan sekadar cerita biasa tetapi ia cerita padat dengan fakta, selain memasukkan elemen tragedi serta imbasan semula.
"Bukan itu sahaja, malah beliau turut membawa pembaca bersama ke dalam setiap penulisannya, membuatkan kita berasa seolah-olah berada dalam cerita itu," katanya yang merupakan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Liat, Bukit Mertajam.
Dalam pada itu, minat sama turut dikongsi isterinya, Fatimah Marzuki yang juga merupakan seorang pendidik di SK Seberang Jaya.
Jelasnya, suami merupakan pengaruh utama yang membawa dia untuk menjadikan karya Ramlee sebagai bahan bacaan utama mereka sejak di alam percintaan ketika belajar di MPIK.
Malah, keserasian itu membawa mereka ke jinjang pelamin dan kini dikurniakan dua orang anak.
"Sebelum ini, kami mengenali beliau melalui karyanya sahaja, selain menonton di televisyen. Tetapi, apabila berpeluang bertemu dengan beliau, ia adalah satu pengalaman yang mengujakan," katanya.
Mengakui memiliki kesemua koleksi karya Ramlee, kedua mereka tidak sabar untuk menantikan karya trilogi terakhir Ramlee, Sunan Musafir yang dijangka dikeluarkan tahun depan.
- SH

No comments:
Post a Comment