GEORGETOWN - Mahkamah Majistret, di sini, hari ini mengeluarkan perintah reman selama 10 hari ke atas seorang wanita berusia 25 tahun yang dipercayai mengurung dan mendera kanak-kanak hilang yang ditemui semula semalam (Jumaat).
Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit untuk dua kes bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu.
Suspek tiba di mahkamah dengan kenderaan polis kira-kira jam 11 pagi, sebelum dibawa masuk ke bilik reman mahkamah untuk mendapatkan perintah reman berkenaan.
Untuk kes ujian saringan air kencing, suspek direman 10 hari sehingga 2 Januari depan. Manakala, bagi kes pengurungan salah, suspek direman empat hari sehingga 27 Disember ini.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kesalahan-kesalahan kecil dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana pengurungan salah.
“Suspek juga didapati positif heroin disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dihukum mengikut Seksyen 15(1)(b) akta yang sama memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan pengawasan, jika sabit kesalahan.
“Polis akan melengkapkan kertas siasatan kes ini sebelum mengemukakannya kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan kepada media.
Semalam, polis berjaya menahan seorang wanita yang dipercayai mengurung dan mendera dua kanak-kanak yang dilaporkan hilang lebih seminggu lalu.
Wanita berusia 25 tahun itu yang tidak mempunyai pekerjaan ditahan di rumahnya di Flat Padang Tembak di Air Itam di sini, petang semalam.
“Hasil soal siasat ke atas wanita ini, dia mengaku mengurung dan mendera dua kanak-kanak berkenaan selama 10 hari di rumahnya kerana menyangka mereka mencuri wang dan telefon bimbit miliknya,” katanya.
Kanak-kanak lelaki terlibat ialah R Dass, 7, dan rakannya, D Santiran, 8, dilaporkan hilang ketika bermain di kawasan permainan di flat yang sama yang didiami wanita berkenaan.
Mereka kemudiannya dilaporkan dihantar pulang dengan teksi, semalam.
Kong Meng berkata, wanita terbabit ditahan untuk siasatan kerana pemeriksaan ke atas kedua-dua kanak-kanak itu oleh pegawai perubatan Hospital Pulau Pinang mendapati ada kesan lebam dan melecur pada bahagian badan dan kepala.
- SH

No comments:
Post a Comment