PATTAYA – Satu majlis pahit manis yang diadakan baru-baru ini
menandakan permulaan dan perpisahan sepasang kekasih yang sudah sekian lama
bercinta.
Dalam kisah cinta yang memilukan dan juga aneh, seorang lelaki
Thai menganjurkan upacara pengebumian dan juga perkahwinan serentak untuk teman
wanitanya yang mati mengejut sebelum mereka dapat berkahwin secara rasmi.
Lelaki berkenaan ialah Chadil Deffy yang juga
dikenali sebagai Deff Yingyuen, pengarah sebuah stesen televisyen
di timur laut Thailand.
Sepanjang 10 tahun lalu, dia hanya memberi tumpuan terhadap
hasrat untuk menyambung pelajaran dan kariernya selepas menamatkan pelajaran di
Universiti Timur Asia, tempat dia berkenalan dengan Sarinya ‘Anne’ Kamsook.
Selepas jatuh cinta di universiti itu dan tinggal bersama selama
10 tahun, Anne memutuskan untuk berkahwin. Namun, hasratnya tertunda kerana
Deff mahu memastikan kariernya kukuh dulu tetapi berjanji untuk mengahwini
kekasihnya itu.
Tetapi Anne mati pada 3 Januari selepas terbabit dalam
kemalangan. Deff yang kesal kerana tidak sempat untuk menunaikan janji,
akhirnya mengambil keputusan berkahwin pada hari pengebumian Anne, kelmarin.
Anggota keluarga dan rakan dijemput menerusi Facebook untuk
menghadiri majlis perkahwinan dan sekali gus upacara pengebumian di sebuah kuil
di Surin.
Dengan berpakaian tuxedo pada majlis itu, Deff yang kelihatan
sedih, menyarungkan cincin pada jari mayat Anne selepas dikahwinkan oleh
seorang sami baru, yang mengikut tradisi penganut Buddha Thai, boleh menjamin
perkahwinan yang berkekalan.
Pada majlis itu, mayat Anne dipakaikan dengan pakaian serba
putih dan diletakkan diatas papan.
Selepas menyarungkan cincin, Deff mencium tangan dan dahi
pengantin perempuan, disaksikan oleh anggota keluarga. – Agensi, 21 Jan 2012
No comments:
Post a Comment