Sebahagian
pelajar bersama ibu bapa masing-masing menerima baucar bantuan RM100 di SMK
Selirik, Kapit, Sarawak, kelmarin. - utusan/Ashley Anggat
KAPIT 22 Jan. - Nilainya mungkin tidak seberapa bagi sesetengah
orang, namun bantuan awal persekolahan sebanyak RM100 begitu besar maknanya
kepada masyarakat luar bandar di daerah ini yang rata-rata penduduknya
berpendapatan rendah.
Meskipun
agak lambat menerimanya berbanding kawasan lain, ibu bapa yang ditemui ketika
penyerahan bantuan itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Selirik di sini bersyukur
dan menyifatkan kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah rakyat serta
mengharapkan ia dapat dapat diteruskan.
Seorang
ibu tunggal yang ingin dikenali sebagai Manjan berkata, bantuan berkenaan amat
diperlukan oleh ibu bapa yang berpendapatan rendah sepertinya.
"Nilainya
mungkin tidaklah banyak mana, namun ia amat berguna kepada kami dan ia adalah
jauh lebih baik daripada tiada langsung," katanya ketika ditemui selepas
menerima bantuan tersebut bersama anaknya di sini semalam.
Seorang
bapa, Jali yang berasal dari Rumah Achan pula berkata, bantuan tersebut mampu
menyuntik motivasi untuk anaknya menimba ilmu bersungguh-sungguh.
"Terima
kasih kepada kerajaan kerana memberi bantuan ini dan komited membantu rakyat
tanpa mengira status dan latar belakang sosial mereka," katanya.
Sementara
itu, seorang guru, Andrew Kana berkata, bantuan berkenaan adalah usaha murni
kerajaan yang tidak patut disalah gunakan oleh mereka yang menerima bantuan
berkenaan.
"Sekurang-kurangnya
ibu bapa dapat membelikan pakaian seragam sekolah dan alat tulis untuk
anak-anak mereka.
"Kita
harap kerajaan dapat meneruskan bantuan ini setiap tahun selepas ini,"
katanya.
Seorang
pelajar tingkatan enam, Terrence Galau yang menerima bantuan baucar RM200 untuk
membeli buku turut bersetuju dengan permintaan Andrew yang mahukan bantuan itu
diteruskan pada masa akan datang.
Cuma
katanya, dia dan rakan-rakan bimbang kedai buku dan alat tulis di pekan Kapit
enggan menerima baucar tersebut sebagai bayaran sama seperti masalah yang
dihadapi pelajar di Belaga yang terpaksa ke bandar terdekat iaitu Bintulu dan
mereka pula mungkin terpaksa ke Sibu.
- Utusan
No comments:
Post a Comment