MOHAMAD Shahrom Osman (tiga kiri) sambil disaksikan Abdul Rahman Mohamad (dua kiri) menyampaikan Netbook 1Malaysia kepada sebahagian pelajar di Padang Tengku, Kuala Lipis, kelmarin.
KUALA LIPIS 28 Feb. – Seramai 788 pelajar dari empat buah sekolah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Tengku menerima Netbook 1Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Tengku, dekat sini semalam.
Pelajar berkenaan adalah dari SMK Padang Tengku, SMK Agama Padang Tengku, SMK Seri Lipis dan SMK Merapoh.
Penyampaian netbook berkenaan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamad Shahrom Osman.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Abdul Rahman Mohamad; Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Media (SKMM) Wilayah Timur, Shahrizal Hussin dan Pegawai Pendidikan Lipis, Misnan Mohd. Damin.
Menurut Mohamad Shahrum, pemberian netbook bernilai RM709,200 bagi fasa ketiga untuk pelajar miskin di daerah Lipis antara usaha berterusan kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dilestarikan menerusi pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan rumah.
“Ini selaras dengan aspirasi kerajaan menjana teknologi tinggi menerusi pendidikan di luar bandar termasuk Orang Asli mengakses maklumat dengan lebih cepat menerusi perkhidmatan jalur lebar,” katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan.
Beliau berkata, bantuan netbook juga untuk mengurangkan jurang digital antara pelajar di bandar dan luar bandar.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, walaupun netbook ini diberi percuma namun menjadi tanggungjawab pelajar untuk menjaganya dengan baik dan menggunakannya untuk tujuan pelajaran.
“Kemudahan ini juga memperlihat hasrat kerajaan negeri untuk menyediakan sekurang-kurangnya setiap keluarga di luar bandar dan Orang Asli memiliki komputer riba untuk kegunaan di rumah,” katanya.
Katanya, ibu bapa perlu memantau kegiatan anak masing-masing ketika menggunakan netbook dan Internet agar tidak terlibat dengan perkara yang tidak bermoral.
- Utusan
No comments:
Post a Comment