Daing Nasir Ibrahim (lima kanan) mengucapkan tahniah kepada Jasni Mohamed (dua kanan) pada Majlis Meraikan Staf sempena kejayaan mendapat tempat ketiga laman web terbaik bagi kategori Institut Pengajian Tinggi Awam di PICC, baru-baru ini.
KUANTAN 28 Feb. - Laman web Universiti Malaysia Pahang (UMP) diiktiraf bertaraf lima bintang apabila berjaya meraih tempat ketiga pada Majlis Anugerah Laman Web Terbaik Negara bagi kategori institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Pengiktirafan tersebut diberikan pihak Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDec) kerana menepati kriteria yang ditetapkan dalam Penilaian Portal dan Laman Web Kerajaan Malaysia 2011 (MGPWA) dan Kementerian Pengajian Tinggi.
Penyampaian anugerah itu disampaikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kepada Naib Canselor UMP, Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim sempena Majlis Amanat Tahun Baru 2012 kementerian itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini
Pada majlis itu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mendapat tempat pertama kategori tersebut diikuti Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem) di tempat kedua.
Menurut Daing Nasir, kejayaan tersebut merupakan satu tanda aras terhadap laman web UMP dalam menyediakan maklumat dalam talian yang berkesan dan terbaik serta memperkasakan sistem penyampaian sektor awam.
"Pengiktirafan ini mengambil kira Penilaian Laman Web Agensi Kerajaan yang dilakukan pihak MDeC setiap tahun dalam memastikan laman web agensi kerajaan sentiasa dikemas kini bagi memberi maklumat dalam talian yang berinformatif dan efektif kepada pelanggan.
"Penarafan lima bintang ini dinilai berdasarkan pengemaskinian kandungan, kebolehgunaan informasi, keselamatan, laporan data statistik, perkhidmatan yang disediakan termasuk penggunaan teknologi terkini atau laman sosial seperti Facebook.
"Kejayaan ini menunjukkan usaha kakitangan dari semua jabatan dalam memastikan segala maklumat dikemas kini dan cabaran berikutnya adalah untuk memastikan UMP berada di tangga teratas," katanya dalam majlis meraikan kejayaan tersebut di Dewan Astaka baru-baru ini.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Datuk Rosli Mohd. Yunus; Dekan Pusat Pengajian Siswazah, Datin Nasly Mohd. Ali dan Dekan Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian, Prof Madya Dr. Jasni Mohamed DA.
Katanya, kejayaan pencapaian lima bintang dianggap paling bermakna bagi UMP berbanding empat bintang pada tahun lalu dan tiga bintang pada 2009.
Pada majlis tersebut, seramai 50 kakitangan menerima sijil penghargaan atas sumbangan dan kejayaan mengharumkan nama universiti tersebut.
- Utusan

No comments:
Post a Comment