SEBAHAGIAN daripada belia dari pelbagai negara gembira sewaktu menyertai program pertukaran belia antarabangsa di Tanjong Malim, Perak baru-baru ini.
TANJONG MALIM 28 Feb. - Menyertai Program Pertukaran Belia Antarabangsa (IYE) selama lapan hari di daerah ini baru-baru ini, ternyata memberi pengalaman menarik kepada 84 belia dari luar negara.
Selain berpeluang mengenali dengan lebih dekat budaya dan cara hidup masyarakat setempat, mereka yang berasal dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Korea, Nepal, Brunei, Monggolia dan Kenya turut didedahkan dengan konsep perpaduan yang diamalkan oleh rakyat berbilang kaum di negara ini.
Kamal Powel, 24, dari Kenya berkata, pengalamannya sepanjang berada di negara ini tidak mungkin dilupakan kerana banyak perkara yang dipelajarinya.
"Pada program ini kami berkesempatan menginap dengan keluarga anak angkat di Kampung Ketoyong tiga hari.
"Selain itu, kami juga menyertai program khidmat masyarakat. Banyak yang saya pelajari tentang budaya, kepercayaan dan rakyat Malaysia.
"Negara ini mempunyai daya tarikannya yang tersendiri dan saya amat menyukainya. Jika berkesempatan, saya ingin lagi datang ke sini," katanya kepada Utusan Malaysia di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) di sini, baru-baru ini.
Ye Kwang Jung, 27, dari Korea Selatan pula berkata, negara ini sangat unik kerana memiliki rakyat yang berbilang kaum dan pelbagai kepercayaan, namun masih dapat hidup dalam keadaan harmoni dan aman.
"Saya terkejut melihat orang Melayu, Cina dan India boleh duduk dalam satu kedai makan tanpa berasa janggal. Ia satu kelainan yang nyata.
"Ini berbeza dengan negara saya sendiri yang hanya mempunyai satu kaum dan menggunakan satu bahasa yang serupa, namun masih bertelagah sesama sendiri," katanya.
Sementara itu, Pengarah Integrasi Nasional, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Suraya Wen berkata, konsep keharmonian rakyat negara ini yang ditonjolkan dalam program berkenaan berjaya mengubah persepsi belia terlibat yang tidak pernah datang ke Malaysia.
"Hampir setiap bulan, kita menerima banyak permintaan untuk melawat negara ini terutamanya dari Korea. Sejak April tahun lalu sahaja, lapan lawatan dari Korea telah kita uruskan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Global Peace Festival (GPF) Malaysia.
"Kebanyakan mereka yang datang amat kagum dengan keharmonian negara kita yang rakyatnya boleh hidup harmoni dan bersatu padu meskipun berlainan bangsa, agama dan budaya," jelasnya.
Selain itu, kata Suraya, kepelbagaian jenis makanan tradisional termasuk buah-buahan dan keindahan alam semula jadi di negeri ini merupakan antara perkara yang paling mencuri tumpuan kumpulan belia ini.
- Utusan
No comments:
Post a Comment