Powered by Blogger.

Thursday, February 16, 2012

Blok Tambahan SMK Muara Tuang Bakal Dilaksanakan Dalam RMK10

  NR       Thursday, February 16, 2012

CEMERLANG: Fatimah menyampaikan Anugerah Pelajar Harapan kepada Alexandra Cheryl Dennis di SMK Muara Tuang, Kota Samarahan semalam.

KOTA SAMARAHAN: Masalah peningkatan pelajar memasuki sekolah menengah akan dapat diatasi apabila kementerian menyediakan peruntukan bagi membina blok tambahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Muara Tuang, di sini.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, memandangkan pertambahan penduduk di sini maka keperluan menambah bilangan kelas SMK Muara Tuang juga perlu diberi perhatian.

Beliau berkata sememangnya kerajaan mempunyai rancangan untuk menambah kelas-kelas dan asrama bagi SMK Muara Tuang yang bakal dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10).

“Kita faham akan situasi pertambahan pelajar yang semakin meningkat dan sememangnya bangunan tambahan diperlukan bagi menampung keperluan itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Cemerlang SMK Muara Tuang, di sini semalam.

Fatimah menarik perhatian bahawa SMK Muara Tuang menjadi tumpuan pelajar daripada 13 taman perumahan dan empat kampung sekitar Kota Samarahan.

Setakat ini katanya, sekolah terbabit yang bersekolah dua sesi pagi dan petang mempunyai pelajar seramai 2,380 orang.

“Dengan pertambahan pelajar yang semakin meningkat maka pihak Pejabat Pelajaran Daerah Samarahan mengagihkan pelajar-pelajar terbabit di SMK Asajaya No.2 dan SMK Kota Samarahan,” katanya.

Hadir sama Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Khas Jabatan Pelajaran Sarawak Fatimah Hamid, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Samarahan Ishak Hashim, Timbalan Residen Samarahan John Awan, Pengetua SMK Muara Tuang Mohd Bedrie Ali Akebar dan Yang Dipertua PIBG SMK Muara Tuang Nawi Som.

Fatimah berkata, permohonan peruntukan bagi membina blok tambahan SMK Muara Tuang telah dimasukkan dalam Kajian Suku Penggal RMK10.

Justeru katanya, dengan pencapaian akademik dan kokurikulum yang terbaik diperolehi SMK Muara Tuang maka diharapkan sekolah terbabit akan terus mengecapi pencapaian memberangsangkan pada masa depan.

“Saya percaya kejayaan cemerlang pelajar-pelajar SMK Muara Tuang dapat dipertingkatkan agar mereka mampu menjadi sebuah sekolah berprestasi tinggi,” katanya.

- UB


logoblog

Thanks for reading Blok Tambahan SMK Muara Tuang Bakal Dilaksanakan Dalam RMK10

Previous
« Prev Post

No comments: