Powered by Blogger.

Thursday, February 16, 2012

PTPK Mohon RM400 Juta Untuk Pinjaman Pelajar Kursus Kemahiran

  NR       Thursday, February 16, 2012
KUCHING: Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) memohon RM400 juta daripada kerajaan untuk memberi pinjaman kepada pelajar mengikuti kursus kemahiran.

Ketua Eksekutif PTPK Ali Badaruddin Abdul Kadir berkata, tahun lalu pihaknya telah memberikan sejumlah RM360 juta kepada peminjam pelatih kursus berkemahiran di Malaysia.

Namun, pihaknya kesal dengan segelintir peminjam yang enggan membayar balik pinjaman terbabit setelah tamat pengajian dan sudah mulai bekerja.

“Tahun lalu sebanyak RM360 juta kami berikan kepada peminjam dan daripada jumlah itu hanya RM18.7 juta sahaja wang yang dibayar semula kepada kami.

“Bayaran balik boleh dilakukan secara ansuran dan mengambil masa sekurang-kurangnya 10 sehingga 15 tahun untuk melangsaikannya kerana ia pembayaran wajib untuk membantu anak bangsa lain bagi meneruskan pengajian mereka,” katanya semalam.

Tambah Ali, rakyat Malaysia antara yang bertuah kerana diberi pinjaman bagi meneruskan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi berbanding negara-negara jiran yang lain seperti Indonesia, Vietnam dan Singapura.

“Bayaran balik pinjaman wajib bagi memastikan kelancaran pinjaman latihan yang akan diberikan kepada pelatih-pelatih lain sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan daya saing negara melalui peningkatan kualiti modal insan melalui sistem pendidikan berteknikal,” jelasnya.

Sebelum itu beliau mengucapkan tahniah kepada 150 graduan yang berjaya menamatkan pengajian dalam kursus-kursus berteknikal di Majlis Konvokesyen 2012 Aitc Training Centre itu di sini semalam.

Katanya, peluang pekerjaan amat banyak untuk lepasan kursus teknikal tetapi beliau menasihatkan agar golongan pelatih tidak cepat berputus asa ketika memulakan kerja.

“Pelatih harus mengambil pengalaman dan pengetahuan ketika bekerja, sekurang-kurangnya satu hingga dua tahun sebelum mencari pekerjaan yang lebih menjamin masa depan,” jelasnya.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Aitc Taining Centre dan I-Systems Group of Colleges Datuk John Tiong, Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Wilayah Sarawak Mohd Azmi Pelah, Pengurus Pentadbiran dan Kewangan Aitc Training Centre dan I-Systems Group of Colleges dan Penolong Pengetua Aitc Training Centre Cawangan Kuching Sim Iang Boi.


- UB
logoblog

Thanks for reading PTPK Mohon RM400 Juta Untuk Pinjaman Pelajar Kursus Kemahiran

Previous
« Prev Post

No comments: