Powered by Blogger.

Monday, February 13, 2012

Lebih RM500,000 bantu mahasiswa Tanah Merah

  NR       Monday, February 13, 2012

TANAH MERAH 12 Feb. - Golongan mahasiswa dari daerah ini amat bertuah apabila terus mendapat perhatian dan pembelaan daripada UMNO Bahagian Tanah Merah yang telah memperuntukan lebih RM500,000 bagi membantu mereka.


Terbaru, Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz telah menyampaikan sumbangan kepada 1,592 mahasiswa kelahiran Tanah Merah, dengan mendapat kerjasama Persatuan Mahasiswa Tanah Merah (Permata).


Menurut Ikmal Hisham, sumbangan tersebut merupakan penghargaan dan pembakar semangat kepada mahasiswa terbabit yang telah berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi untuk terus mencipta kecemerlangan dalam bidang akademik.


"Setiap pelajar menerima sumbangan RM250 termasuk duit poket RM50, sebuah pemain cakera padat (CD) berjenama serta sebuah beg galas. Selain itu, Permata juga mengadakan pelbagai program yang dapat dimanfaatkan oleh mahasiswa antaranya bengkel sahsiah diri, penulisan resume dan banyak lagi.


"Sesungguhnya, UMNO Tanah Merah begitu cakna terhadap masa depan mahasiswa dari Tanah Merah dan akan sentiasa membantu mereka untuk terus mencipta kecemerlangan dalam bidang pendidikan yang menjadi agenda utama UMNO bahagian," katanya di sini, semalam.


Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan tersebut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah 1 di sini.


Hadir sama, Naib Ketua UMNO bahagian, Bakri Mustapha dan Pengarah Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemahang, Rosli Kadir.


Dalam perkembangan lain, Ikmal Hisham yang juga Penaung Permata memaklumkan, ahli-ahli Permata yang ingin melangsungkan perkahwinan layak menerima bantuan sebanyak RM500.


"Bagaimanapun, saya tidaklah menggalakkan mereka mendirikan rumah tangga sewaktu masih menuntut di universiti. Mereka harus ingat pelajaran perlu diutamakan.


"Namun begitu, sekiranya ada yang berhajat, mereka boleh memohon wang bantuan tersebut. Bantuan ini hanya terbuka kepada ahli Permata yang mahu mendirikan rumah tangga sahaja," katanya.
logoblog

Thanks for reading Lebih RM500,000 bantu mahasiswa Tanah Merah

Previous
« Prev Post

No comments: