Powered by Blogger.

Tuesday, February 21, 2012

Sasteradotcom: Buku mahal 'bunuh' sastera

  NR       Tuesday, February 21, 2012

LAMAN sesawang The Myanmar Times di alamat www.mmtimes.com menyorot kebimbangan yang disuarakan pembaca di Myanmar berkaitan kelangsungan sastera kanak-kanak di sana yang semakin tidak mendapat sambutan.

Seorang pelajar, Ma Swe Lae Lae Oo berkata, beliau dan rakannya gemar menghabiskan masa lapang dengan membaca buku dan komik kanak-kanak yang disewa di kedai buku kejiranan mereka menggunakan wang saku sendiri.

“Walaupun saya ingin memiliki koleksi buku yang saya minati, namun ia terlalu mahal untuk dibeli. Pelajar seperti saya juga jarang menggunakan kemudahan perpustakaan yang ada di sekolah tanpa galakan daripada guru.

“Bagaimanapun, kami berharap untuk dapat menggunakan kemudahan perpustakaan untuk membaca jurnal kanak-kanak dan majalah,” katanya.

Laman itu melaporkan, pada ketika ini terdapat kira-kira 30 penerbitan bulanan yang dikhususkan untuk kanak-kanak di pasaran tempatan tetapi dijual pada harga K300 (RM140) hingga K4,000 (RM1,900), yang boleh dianggap mahal bagi kebanyakan keluarga.

Ibu kepada dua anak, Daw Thein Thein Win berkata, beliau sentiasa ingin membelikan buku untuk anaknya namun terpaksa melupakannya atas faktor harganya yang mahal.

“Buku yang berharga K3,500 (RM1,600) adalah bersamaan dengan separuh perbelanjaan harian keluarga saya,” katanya. 

Laman itu melaporkan, sastera kanak-kanak di Myanmar boleh dikesan wujud sejak 1950-an menerusi beberapa jurnal kanak-kanak seperti Popular, Lote Tharr Sar Saung, Padaythar dan Kalay.

Penulis buku bagi majalah kanak-kanak, Thittsar Ni berpendapat, penerbitan berkenaan popular sekitar 1950-an kerana tiada saingan daripada televisyen dan permainan komputer.

Beliau berkata, menerusi penerbitan berkenaan, penulis dan kartunis buku kanak-kanak mampu memberikan pengajaran berkaitan pelbagai perkara penting yang boleh diingati pembaca sepanjang hayat mereka.

“Kami banyak berubah apabila bila membaca jurnal berkenaan ketika kecil. Pada ketika itu, kami masih mampu membelinya dengan menggunakan wang saku sendiri. Kanak-kanak pada hari ini menggunakan wang yang dimiliki untuk bermain permainan video yang menawarkan watak yang boleh bergerak berserta bunyi dan warna.

“Bagi mereka ini lebih menarik berbanding membaca dan mereka tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya dalam hal ini,” katanya.

- BH
logoblog

Thanks for reading Sasteradotcom: Buku mahal 'bunuh' sastera

Previous
« Prev Post

No comments: