Prof. Madya Dr. A. Rahman Tang Abdullah
KOTA KINABALU: Sejarah tercipta bagi Universiti Malaysia Sabah (UMS) apabila buat julung kalinya seorang pensyarah dari golongan orang kelainan upaya (OKU) telah mendaftar sebagai kakitangan di universiti itu kelmarin.
Prof. Madya Dr. A. Rahman Tang Abdullah yang berasal daripada Muar, Johor telah mendaftar secara rasmi sebagai kakitangan akademik UMS di Pejabat Pendaftar, Bangunan Canselori UMS. Beliau yang mempunyai masalah penglihatan datang ditemani anak lelakinya dan akan bertugas di Sekolah Sains Sosial UMS.
Ketika ditemui, beliau menyatakan rasa bertuah dan sangat berterima kasih kepada pihak UMS atas tawaran yang diberikan tanpa mengira kekurangan yang ada padanya apatahlagi diberi peluang untuk meneruskan karier di universiti yang berprestij negeri ini.
“Tawaran ini membolehkan saya meneruskan cita-cita menabur bakti kepada nusa dan bangsa. Ia juga bertepatan dengan keinginan saya untuk menambah pengetahuan dan membuat penyelidikan mengenai sejarah di Kepulauan Borneo khususnya di Sabah dan Sarawak,” katanya yang mempunyai kepakaran dalam sejarah Malaysia.
Tambahnya, walaupun baru pertama kali menjejakkan kaki di Negeri Di Bawah Bayu ini, beliau sangat tertarik dengan negeri ini yang disifatkan sebagai negeri yang dinamik dan mempunyai pelbagai tarikan di luar jangkaan.
Ketika diminta mengulas kedudukan golongan OKU di negara ini, Rahman menyeru agar semua golongan yang senasib dengannya perlu sentiasa peka dan proaktif mengikut peredaran arus perdana.
“Kita harus akui bahawa dunia bukan dicipta untuk satu golongan sahaja. Oleh demikian, kita harus sentiasa mengikut peredaran ini dan proaktif dalam mencari peranan masing-masing yang telah ditentukan oleh-Nya,” katanya.
Walau bagaimanpun, beliau tidak menafikan bahawa golongan OKU juga memerlukan perhatian daripada masyarakat setempat.
“Kami sangat memerlukan empati daripada orang ramai agar mereka faham mengenai keadaan kami. Itulah yang sebenarnya kami inginkan dan bukannya perasaan simpati terhadap kekurangan yang dimiliki,” katanya yang sebelum ini bertugas selama 18 tahun di Universiti Antarabangsa Malaysia (UIA).
Rahman memulakan kariernya sebagai tutor di Universiti Malaya pada tahun 1992. Setahun kemudian, beliau bertugas sebagai pensyarah di UIA sebelum melanjutkan kariernya di UMS pada tahun ini. Walaupun mempunyai masalah dalam penglihatan, ia tidak menghalang beliau untuk menamatkan pengajian peringkat Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London.
- UB
No comments:
Post a Comment